
IPOH – Kejadian seorang lelaki warga emas maut dipercayai menembak diri sendiri di sebuah rumah di Jelapang semalam, tidak membabitkan sebarang elemen jenayah.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas lelaki berusia 75 tahun itu mendapati punca kematian adalah disebabkan tembakan di dada.
“Berdasarkan keputusan bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) hari ini, tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian itu.
“Kita telah memanggil beberapa individu termasuk ahli keluarga mangsa untuk dirakam percakapan. Siasatan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya di sini hari ini.
Menurut Abang Zainal Abidin, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 11.35 pagi dan pemeriksaan anggota di lokasi kejadian menemui seorang lelaki dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di atas kerusi kayu di luar rumah.
Tambah beliau, mangsa tinggal di rumah itu bersama isteri, anak lelaki sulung, menantu dan seorang cucu dan semasa kejadian tiada sesiapa di rumah.
“Berdasarkan maklumat daripada keluarga, mangsa menghidap kanser kolon tahap empat dan merupakan pemilik senapang Baretta D81735B sejak 30 tahun lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Tiada unsur jenayah warga emas tembak diri sendiri appeared first on Kosmo Digital.