Auto Added by WPeMatico

![]()
KUANTAN – Pokok-pokok yang ada di sekitar jalan di Janda Baik termasuk Jalan Lama Bentong-Kuala Lumpur akan dikenalpasti dan ditebang bagi mengelakkan tragedi pokok tumbang berlaku lagi pada masa akan datang.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan segera akan dilakukan melibatkan kerjasama antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.
“Kita kena ‘move on’, kita bukan hendak kira PBT atau JKR, kejadian telah berlaku dan tindakan kita ialah untuk menyelesaikan masalah itu dengan segera.
“Saya minta supaya Exco pihak berkuasa tempatan dan exco Jabatan Kerja Raya selaku Pengerusi Bersama untuk memanggil semua pihak terlibat dengan kadar segera,”katanya ketika ditemui pada Jelajah Aspirasi Pahang 1st Dewan Undangan Negeri Inderapura di Jeti Nelayan Sungai Belat Kampung Belukar di sini semalam.
Menurut Wan Rosdy pihak kerajaan negeri tidak akan berdiam diri dan akan mengambil tindakan segera mengenai isu ini yang melibatkan keselamatan rakyat.
Katanya, perbincangan akan dilakukan pihak JKR bersama PBT yang mana segala pandangan bagi menyelesaikan isu ini akan diberi perhatian segera dengan keutamaan kepada kawasan-kawasan dikenalpasti.
Semalam Kosmo! melaporkan di sebalik keindahan alam semula jadi dan panorama mengasyikkan di sepanjang Jalan Lama KL-Bentong di Bentong ada ancaman senyap daripada kewujudan ratusan pokok besar yang sudah berusia puluhan tahun di sepanjang tebing bukit di laluan berkenaan.
Situasi ini dilihat berpotensi menjadi ‘bom jangka’ kepada ribuan pengguna jalan tersebut setiap hari termasuk pengunjung yang bercuti ke Janda Baik dan Bentong pada hujung minggu.
Tragedi yang meragut nyawa empat sekeluarga berhampiran pintu gerbang Janda Baik Ahad lalu menjadi bukti bahawa risiko pokok tumbang tidak semestinya berlaku ketika hujan lebat atau pun ribut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, empat sekeluarga maut manakala seorang cedera selepas Ford Raptor dinaiki mereka dihempap pokok tumbang berhampiran pintu gerbang Janda Baik di sini.
Mangsa yang maut ialah Ketua Pemuda UMNO Maran, Mohd Radzi Rahimi,40; isterinya Nuraini Muhammad Jafri,36; anak mereka Muhammad Rizz Hazim, 5, dan adik iparnya, Mohammad Nizam Mohammad Jafri,35. – KOSMO! ONLINE
The post Pokok-pokok di Janda Baik akan dikenalpasti, ditebang appeared first on Kosmo Digital.
