Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan selepas memegang jawatan itu selama 22 tahun sejak 2004.
Ahli Parlimen Seremban itu berkata, keputusan berkenaan dibuat atas dasar tanggungjawab susulan kegagalannya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini.
Katanya, beliau akan memanggil mesyuarat Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan dalam masa terdekat bagi membolehkan seorang pengerusi baharu dipilih dalam kalangan ahli jawatankuasa sedia ada.
“Saya mengambil keputusan untuk berundur sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan kerana merasakan ada tanggungjawab atas kegagalan saya mempertahankan kerusi DUN Chennah dalam pilihan raya baru-baru ini.
“Walaupun DAP Negeri Sembilan berjaya memenangi sembilan daripada 11 kerusi yang ditandingi, saya merasakan ini masa paling sesuai untuk seorang pengerusi negeri baharu dilantik selepas saya memegang jawatan ini selama 22 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP, di sini hari ini.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan Anthony gagal mempertahankan kerusi DUN Chennah selepas tewas kepada calon MCA, Siow Kong Choon dengan majoriti 688 undi.
Anthony yang mewakili DUN Chennah sejak 2013 sebelum ini berjaya mempertahankan kerusi berkenaan dalam tiga pilihan raya negeri berturut-turut.
Sidang media itu juga merupakan penampilan pertama Anthony selepas kekalahannya di DUN Chennah.
Anthony berkata, DAP Negeri Sembilan hanya memenangi dua kerusi ketika beliau mula menerajui parti itu pada 2004 sebelum berkembang sehingga mencapai kedudukan yang lebih kukuh pada masa ini.
Katanya, keputusan untuk berundur dibuat secara peribadi tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak, meskipun beberapa pemimpin parti memintanya terus kekal memegang jawatan tersebut.
“Ini keputusan peribadi saya. Selepas 22 tahun menerajui DAP Negeri Sembilan, saya merasakan sudah tiba masanya untuk menyerahkan tanggungjawab ini kepada pemimpin lain.
“Saya akan memberikan tumpuan kepada tugas sebagai Setiausaha Agung DAP dan terus memberikan sokongan kepada kepimpinan negeri yang baharu,” katanya. – UTUSAN
The post Anthony letak jawatan Pengerusi DAP Negeri Sembilan appeared first on Utusan Malaysia.
