
![]()
SUNGAI PETANI – Ketika umat Islam sibuk menyambut Hari Raya Aidilfitri, dua beradik disyaki ligat mencuri kabel di Dataran Jam Besar di Jalan Ibrahim, di sini semalam.
Cubaan kedua-dua suspek lelaki berusia 42 dan 44 tahun itu bagaimanapun gagal apabila kegiatan mereka disedari anggota polis yang melakukan rondaan di sekitar pusat bandar ini kira-kira pukul 4.30 petang.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah mengesan dua lelaki sedang membuka penutup lubang utiliti di lokasi tersebut.
Katanya, kedua-dua suspek kemudian dilihat memasuki lubang berkenaan sebelum cuba memotong dan mencuri kabel.
“Pasukan serbuan terus menahan kedua-dua lelaki terbabit dan bertindak merampas lima peralatan untuk memotong kabel,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, dua suspek itu didapati positif dadah jenis methamphetamine dan masing-masing mempunyai 12 rekod membabitkan kes dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE
The post Orang sibuk beraya, dua beradik ligat curi kabel appeared first on Kosmo Digital.

