Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Terengganu dijangka dipilih sebagai venue tambahan bagi menganjurkan acara endurance sukan ekuestrian pada temasya Sukan SEA Malaysia 2027, sekali gus melengkapkan kluster utama venue yang ditetapkan sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Malaysia (MASOC) 2027, Datuk Abdul Rashid Yaakub berkata, perkara itu masih dalam proses penelitian dan beliau akan berkunjung ke sana bagi melihat sendiri tahap persediaan venue tersebut.
Beliau menjelaskan, kerajaan negeri Terengganu sudah menyatakan minat secara rasmi untuk menjadi ‘tuan rumah’ kepada acara endurance, lebih-lebih lagi sudah memiliki pengalaman luas dalam penganjuran acara itu.
“Setakat ini masih belum ada keputusan tetapi kita jangka acara endurance untuk sukan ekuestrian mungkin dibuat di Terengganu.
“Kerajaan negeri Terengganu juga berminat dan sudah menghantar surat rasmi menyatakan mereka mahu menganjurkan acara endurance itu. Saya akan ke Terengganu bulan depan untuk melihat tahap kesiapsiagaan venue,” katanya.
Tambah Abdul Rashid, Terengganu dianggap memiliki kelebihan kerana mereka menganjurkan sekurang-kurangnya tiga kejohanan endurance bertaraf antarabangsa setiap tahun, sekali gus memastikan persiapan berada pada tahap tertinggi.
“Trek endurance yang terbaik adalah di Terengganu kerana mereka sekurang-kurangnya menganjurkan tiga kejohanan endurance antarabangsa setiap tahun. Jadi, tahap kesiapsiagaan mereka sangat tinggi,” ujarnya.
Terdahulu, empat kluster utama Sukan SEA Malaysia 2027 yang ditetapkan adalah di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Sarawak dan Pulau Pinang manakala Langkawi dilihat sebagai lokasi paling sesuai untuk sukan pelayaran. – KOSMO! ONLINE
The post Terengganu bakal venue acara endurance Sukan SEA 2027 appeared first on Kosmo Online.
