Auto Added by WPeMatico

![]()
GUA MUSANG – Kebanyakan kemalangan kecil terutama kes langgar belakang kenderaan yang berlaku semasa perantau menempuh trafik sesak di daerah ini berlaku apabila pemandu berada pada tahap keletihan yang tinggi selepas memandu lebih 10 jam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, sebanyak 35 kes kemalangan kecil melibatkan kenderaan perantau telah dicatatkan dalam tempoh dua hari.
Katanya, kebanyakan kemalangan berlaku di lebuh raya kawasan sempadan Pahang-Kelantan, jalan Persekutuan dan negeri di daerah ini.
“Sebanyak 20 kemalangan dilaporkan berlaku kelmarin dan 15 kes kemalangan pula berlaku setakat semalam.
“Tiada kemalangan maut berlaku, namun pelanggaran kecil antara kenderaan seperti terlanggar bahagian belakang kereta lain,” katanya selepas Program Op Selamat Peringkat daerah Gua Musang di Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Mentara di sini petang semalam.
Dalam program tersebut sebanyak 300 pek makanan diagihkan kepada perantau yang turut disertai pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kelab Lion Gua Musang.
Choon Foo memberitahu, peningkatan jumlah kenderaan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri menyebabkan ramai pemandu mengambil keputusan memandu tanpa rehat mencukupi.
Katanya, keadaan itu mengakibatkan pemandu hilang fokus, mengantuk dan gagal mengawal kenderaan dengan baik ketika berada dalam aliran trafik yang perlahan. – KOSMO! ONLINE
The post Pemandu letih punca kes langgar belakang kereta ketika trafik sesak di Gua Musang appeared first on Kosmo Digital.
