Auto Added by WPeMatico

MELAKA – Sebanyak 20 lokasi dilaporkan terbakar di negeri ini dalam tempoh 12 jam membabitkan kawasan belukar, lalang dan timbunan sampah susulan cuaca panas yang melanda negara ketika ini.
Beberapa kawasan terlibat termasuk di Jalan Kuala Ina, Kampung Tanah Merah Baru, Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) Sungai Petai, Kampung Janda Berhias, Kampung Langkap dan Sungai Udang.
Insiden turut melibatkan kawasan perumahan antaranya di Taman Krubong Indah, Kampung Solok Mak Yah, Paya Rumput, Taman Merdeka Jaya, Taman Bachang Baru, dan Residence Prima & A’Famosa.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, jumlah keseluruhan kebakaran dilaporkan sejak pukul 6 pagi sehingga 6 petang tadi mencecah 20 kes.
Katanya, beberapa kes kebakaran turut berlaku dalam tempoh hanya selang beberapa minit.
“Insiden kebakaran terbuka seperti belukar, lalang dan sampah merupakan majoriti, menandakan trend peningkatan aktiviti pembakaran terbuka di kawasan awam serta perumahan pada cuaca musim panas ketika ini.

“Kebakaran berskala kecil berjaya dipadam dalam tempoh kurang 30 minit, manakala kebakaran berskala besar sehingga 15 ekar memerlukan operasi berpanjangan lebih 6 jam melibatkan pemantauan, pemadaman menyeluruh dan kawalan titik panas (hotspot),” katanya kepada pemberita, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, punca lain kebakaran adalah disebabkan cuaca panas dan kering.
“Setakat ini insiden tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan.
“Kami menggesa orang ramai supaya tidak membakar belukar atau sampah secara terbuka tanpa kawalan bagi memastikan keselamatan semua pihak,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Kampung Janda Berhias antara lokasi terbakar di Melaka appeared first on Kosmo Digital.