
![]()
SHAH ALAM – Sebanyak RM40 juta nilai jualan disasarkan menerusi penganjuran Program Semarak Syawal 1447@Pasar Tani yang berlangsung di 722 lokasi pasar tani di seluruh negara menjelang sambutan Aidilfitri.
Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abdul Rashid Bahri berkata, program tersebut diadakan selama enam hari bermula semalam hingga 19 Mac ini bagi memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan barangan keperluan Aidilfitri pada harga lebih berpatutan.
Menurutnya, bagi Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, sebanyak 48 lokasi pasar tani terlibat dengan sasaran nilai jualan mencecah RM2.7 juta.
“Program ini merupakan inisiatif tahunan FAMA bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat selain memastikan bekalan makanan mencukupi menjelang Aidilfitri.
“Harga barangan kekal stabil dan berpatutan, sekali gus membolehkan pengguna membuat persiapan Syawal tanpa perlu terlalu risau mengenai bekalan makanan,” katanya hari ini.
Terdahulu, majlis pelancaran Program Semarak Syawal 1447@Pasar Tani Peringkat Selangor disempurnakan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof.
Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, antara tarikan utama program tersebut ialah Jualan Kombo Promosi Agro MADANI yang menawarkan pelbagai barangan keperluan dapur pada harga istimewa.
“Antara barangan yang ditawarkan ialah telur, minyak masak, santan kotak, bawang merah setengah kilogram dan halia yang dijual dalam pakej kombo pada harga RM5 bagi 100 set semasa Happy Hour, berbanding harga asal RM15.
“Selain itu, ayam segar turut dijual pada harga promosi RM10 seekor berbanding RM18 seekor, selain pengunjung juga berpeluang menerima edaran kerepek secara percuma,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, FAMA turut bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menganjurkan Karnival Mantai 2026 di Stadium Shah Alam selama dua hari bermula Selasa ini.
Menurutnya, sebanyak 10 tan daging lembu tempatan akan dijual pada harga RM25 sekilogram selepas potongan kupon RM5 daripada harga asal RM30 sekilogram.
“Saya menyeru orang ramai khususnya warga Selangor supaya mengambil peluang mendapatkan daging lembu segar pada harga lebih murah selain ayam yang turut dijual pada harga RM10 seekor,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post FAMA sasar jualan RM40 juta dalam Program Semarak Syawal appeared first on Kosmo Digital.

