Auto Added by WPeMatico

![]()
BUNYI getaran mesej masuk mematikan langkah Cikgu Rafi yang hendak menapak ke bilik. Dia buka aplikasi Telegram.
‘Assalamualaikum, ayah.’
Dahi Cikgu Rafi berkerut.
Dia membaca semula mesej itu. Sejak lima tahun bersara daripada dunia perguruan, hanya tiga anaknya yang memanggilnya dengan panggilan itu. Itu pun sesekali sahaja kerana masing-masing sibuk dengan kehidupan dan pekerjaan di bandar.
Masuk lagi mesej kedua. Cikgu Rafi membaca sambil melabuhkan kembali punggungnya ke sofa.
‘Saya Sara. Maaf ganggu. Saya ingin berkongsi peluang pelaburan patuh syariah untuk pesara seperti ayah.’
Cikgu Rafi tersenyum hambar. Macam mana budak ini boleh dapatkan nombor telefonnya? Setahunya, dia jarang menggunakan aplikasi Telegram untuk berhubung dengan kawan-kawan.
Tetapi, bila difikirkan semula, dalam zaman teknologi ini, macam-macam cara boleh berlaku.
Dia tidak beri apa-apa respons. Tetapi perkataan ‘pelaburan’ itu sangat sensitiif baginya. Perkataan itu membawa kembali satu kenangan pahit yang masih tersimpan kemas di dalam sebuah fail biru di rak buku ruang tamu. Di dalamnya masih ada salinan laporan polis, penyata bank dan cetakan transaksi yang menjadi bukti bagaimana hampir RM50,000 wang ganjaran persaraannya hilang akibat ditipu.
Walaupun telah lima tahun berlalu, tetapi rasa pedih itu masih melekat. Dia membalas ringkas.
‘Maaf, tak minat.’
Beberapa saat kemudian Sara membalas. ‘Boleh saya tahu kenapa, ayah?’
‘Sebab banyak pelaburan dalam talian ni penipu.’
Jawapan itu dihantar tanpa banyak fikir. Namun soalan seterusnya membuatkan jarinya terhenti.
‘Ayah pernah kena tipu?’
Cikgu Rafi memandang ke luar tingkap. Hujan tadi masih lebat. Kenangan lama datang semula seperti air melimpah dari parit selepas hujan.
‘Pernah. Lima puluh ribu.’ Taipnya perlahan.
Beberapa saat kemudian.
‘Maafkan saya, ayah.’
Entah mengapa, ucapan ringkas itu terasa berbeza. Dia rasakan ada nada penyesalan dan simpati di situ. Kemudian satu lagi mesej muncul.
“Saya faham perasaan ayah. RM50,000 itu bukan sedikit. Kalau ayah izinkan, saya mahu bantu ayah dapatkan semula duit itu.”
Cikgu Rafi tidak membalas. Dia melirik senyum tawar. Dia meletakkan telefon di atas meja. Dia tahu, itu bahasa perangkap. Bagi orang tua sepertinya, boleh cair jika tidak berhati-hati.
Namun malam itu, sebelum tidur, dia membuka semula mesej tersebut. Panggilan “Ayah” menyentuh kalbunya. Sudah lama tiada orang menyapanya begitu selain anak-anak sendiri. Biasanya orang yang mengenalinya akan memanggil namanya “Cikgu” sahaja. Ataupun, jika orang muda yang tidak dikenali, akan memanggil “Pakcik”.
Hari-hari berikutnya, Sara tidak lagi bercakap tentang pelaburan. Sebaliknya dia bertanya khabar.
‘Ayah dah sarapan? Jangan lupa makan ubat ikut masa tau.’ Manja bahasanya.
Kadang-kadang dia menghantar gambar secawan kopi. Kadang-kadang gambar pemandangan. Pernah juga gambar seekor kucing yang sedang tidur. Cikgu Rafi tersenyum sendirian.
Sedikit sebanyak Cikgu Rafi mula terkesan dan menunggu bunyi notifikasi telefon. Dia sendiri tidak sedar bila rasa curiga mula berubah menjadi selesa. Seminggu kemudian, terdetik di dalam hatinya untuk bertanya.
‘Dah tak nak tanya pasal pelaburan lagi?’ Mesej itu dihantar kepada Sara. Dia sekadar mahu menguji Sara.
Beberapa saat kemudian, Sara membalas.
‘Tak mahu. Nanti ayah fikir Sara berkawan untuk kempen pelaburan, kerana duit.’
Cikgu Rafi membaca ayat itu beberapa kali. Dia tersenyum. Ada keikhlasan dari Sara. Dia menarik nafas lega. Dia tahu, sejak bersara, hidupnya berjalan dalam rutin yang sama. Setiap kali solat, berjemaah di surau. Petang singgah di warung Pak Din. Malam membaca atau menonton berita.
Kehidupannya sederhana. Segala keperluan mencukupi. Tetapi ada satu ruang kosong yang tidak pernah diluahkan. Kesunyian.
Di warung Pak Din, seperti biasa selepas Asar, beberapa pesara berkumpul sambil menikmati kopi panas dan berbual tentang pelbagai perkara. Tentang politik, tentang harga barang, dan tentang anak-anak yang semakin jarang pulang.
Ketika itu telefon bimbit Cikgu Rafi berbunyi. Satu mesej masuk. Tanpa sedar dia tersenyum ketika membacanya. Cikgu Zaidi yang duduk di hadapan memerhatikan.
“Hai, apa yang seronok sangat tu?” Cikgu Rafi segera memasukkan telefon ke dalam poket.
“Tak ada apa-apa. Ada orang bertanya khabar.”
“Anak kau?”
“Bukan.”
Cikgu Zaidi mengangkat kening, tetapi tidak bertanya lebih lanjut.
Beberapa hari kemudian, Sara kembali menyentuh perkara yang pernah dibincangkan dahulu.
‘Ayah masih takut dengan pelaburan?’
Cikgu Rafi tersenyum membaca mesej itu.
‘Bukan takut. Cuma susah nak percaya.’
‘Kalau macam tu, apa kata ayah cuba sedikit sahaja dulu. RM100 pun okey. Sekadar untuk ayah lihat sendiri.’
Cikgu Rafi termenung. Sebenarnya ada satu bahagian dalam dirinya yang mahu membuktikan dia masih mampu membuat keputusan sendiri. Sejak ditipu dahulu, dia terlalu takut mencuba apa-apa. Akhirnya dia cuba memindahkan RM100 ke akaun pelaburan yang dicadangkan Sara. Selepas sejam, satu paparan muncul. RM120. Dia melihat berkali-kali. Masih terpapar angka yang sama, RM120.
Sara menghantar mesej.
‘Macam mana ayah? Ayah nampak?’
‘Nampak.’
‘Sara tak tipu ayah. Sara nak ayah percaya apa kata Sara.’
Cikgu Rafi tidak tahu bagaimana hendak menjawab.
Malam itu, dia duduk lama di ruang tamu sambil memandang skrin telefon. Rasa takut dan fobia pelaburannya selama ini sedikit terhakis.
Beberapa hari kemudian, dia mencuba lagi. Kali ini dia memberanikan diri memasukkan duit ke akaun dicadangkan Sara sebanyak RM500. Seperti sebelumnya, dalam masa tidak sampai sejam jumlah wang dalam akaunnya meningkat kepada RM600. Rasa seronok menunjang di dalam dadanya. Dan perlahan-lahan, dinding ketakutan yang dibinanya selepas kehilangan RM50,000 dahulu mula retak. Malam itu Sara menghubunginya melalui panggilan suara.
“Assalamualaikum, ayah.”
“Waalaikumsalam.”
“Macam mana pelaburan ayah?”
“Alhamdulillah. Okey.”
Sara ketawa kecil.
“Kan Sara dah kata. Insya-Allah ada rezeki ayah.”
Perbualan mereka berlanjutan hampir setengah jam. Mereka tidak banyak bercakap tentang wang. Mereka berbual tentang kampung, tentang anak-anak, dan kehidupan bersara.
Cikgu Rafi mula menyedari kemesraan dan keikhlasan hati Sara. Suara Sara begitu tenang. Sangat menghormati. Seolah-olah dia benar-benar seorang anak yang sedang mengambil berat tentang ayahnya.
Apabila panggilan tamat, Cikgu Rafi masih memegang telefon. Ada satu perasaan yang sukar dijelaskan. Walaupun dia tidak mengenali Sara sepenuhnya, tetapi dia berasa sangat dihargai.
Petang Jumaat itu, Cikgu Rafi menemani Hajah Sopiah membeli beberapa keperluan di bandar. Seusai membeli barang dapur, mereka singgah di sebuah kedai emas. Mata Hajah Sopiah tertarik kepada seutas rantai emas.
“Cantik,” katanya perlahan.
“Terpikat ke?,” Tanya Cikgu Rafi sambil senyum.
“Kalau ada orang nak belanja, boleh je,” balas Hajah Sopiah sambil menjeling ke arah Cikgu Rafi.
Cikgu Rafi buat-buat tak mendengar
“Kita dah tua. Banyak lagi perkara lain nak dibuat.”
Dia berlalu pergi. Namun Cikgu Rafi sempat melihat tanda harga. Hampir RM8,000. Dan sepanjang perjalanan pulang, bayangan rantai itu masih bermain dalam fikirannya. Cikgu Rafi tahu, Hajah
Sopiah tidak pernah meminta sesuatu yang mahal sepanjang hidup bersama. Dia tidak pernah merungut tentang susah senang. Dia hanya menemani Cikgu Rafi ke mana-mana sahaja.
Dalam diam-diam, Cikgu Rafi terdetik satu niat. Kalau pelaburan ini benar-benar berjaya, rantai itu akan menjadi hadiah buat isterinya. Satu tanda penghargaan selepas puluhan tahun bersama.
Suatu hari, Sara menghantar satu mesej baharu.
‘Ayah, ada satu peluang khas untuk pelabur terpilih.’
Cikgu Rafi membaca perlahan. ‘Peluang apa?’
‘Pulangan lebih besar. Tapi perlukan modal yang sedikit lebih tinggi.’
‘Berapa?’ Beberapa saat kemudian jawapan muncul.
‘RM10,000.’
Cikgu Rafi terdiam. Jumlah itu bukan kecil. Namun fikirannya segera kembali kepada pelaburan terdahulu. RM100 menjadi RM120. RM500 menjadi RM600. Semua berjalan lancar. Dan lebih daripada itu, dia teringat kata-kata Sara.
‘Insya-Allah, ayah boleh dapatkan semula duit ayah yang ditipu itu.’
RM50,000. Angka yang selama ini menjadi luka, tiba-tiba kelihatan seperti sesuatu yang masih boleh ditebus.
Malam itu dia duduk di beranda rumah. Angin dingin bertiup perlahan. Dalam fikirannya ada dua suara yang bertentangan. Satu mengingatkannya tentang penipuan yang pernah berlaku. Satu lagi membisikkan mungkin inilah peluang kedua yang diberikan Tuhan. Akhirnya, dia memilih untuk percaya.
Tanpa berfikir lebih lama, RM10,000 dipindahkan. Tidak lama kemudian, mesej Sara masuk.
‘Terbaik, ayah.’
Cikgu Rafi memandang skrin telefon. Aneh, dia tidak berasa terlalu gembira. Sebaliknya ada satu rasa berdebar yang sukar dijelaskan.
Hari pertama selepas pelaburan itu, Sara masih menghantar mesej seperti biasa.
‘Ayah jangan risau. Proses sedang berjalan.’
Hari kedua, satu lagi mesej muncul. ‘Tahniah, ayah. Jumlah keuntungan pelaburan ayah mencecah RM80,000.’
Cikgu Rafi terpaku dengan jumlah yang sangat besar. Debar dada dirasakan kencang.
RM80,000? Namun sebelum sempat kegembiraan itu memenuhi dadanya, satu lagi mesej masuk.
‘Untuk keluarkan wang itu, ayah perlu lengkapkan syarat terakhir. Kena tambah modal RM30,000.’ Tangannya terhenti. RM30,000? Dia membaca mesej itu.
‘Besar sangat tu Sara.’
Balasan datang pantas.
‘Ayah, ini cuma proses sistem. Kalau tidak lengkap dalam masa 72 jam, pembayaran akan dibatalkan.’
Dada Cikgu Rafi terasa sesak. Tiba-tiba kata-kata Cikgu Zaidi kembali bermain di fikirannya.
“Penipu tidak pernah datang dengan wajah penipu.”
Malam itu dia membuka laci simpanan. Wang Hajah Sopiah sebanyak RM5,000 dicampurkan dengan simpanannya sendiri RM5,000. Masih tidak cukup. Dia mengambil telefon.
Nama Cikgu Zaidi tertera pada skrin. Jarinya hampir menekan butang panggilan. Namun dia berhenti.
Peluh dingin merenik di dahinya. Dia tidak sanggup memberitahu sahabatnya itu bahawa kata-katanya dahulu mungkin benar. Lebih daripada itu, dia tidak sanggup melihat wajah polos Cikgu Zaidi. Telefon diletakkan semula.
Hari ketiga berlalu dengan penuh gelisah. Mesej Sara masuk lagi.
‘Ayah, masa makin suntuk. Saya boleh bantu ayah sebanyak RM2,000. Ayah usahakan yang selebihnya.’
Cikgu Rafi hanya memandang skrin. Jika dicampur dengan wang yang Sara nak bantu itu, baru RM12,000. Jauh dari mencukupi angka RM30,000. Di mana lagi dia mahu cekau wang yang selebihnya?
Malam itu, sekali lagi Cikgu Rafi memandang skrin. Perkataan “ayah” yang dahulu membuatkan hatinya tenang, kini terasa berat. Akhirnya dia membuka semula aplikasi pelaburan itu. Paparan yang muncul membuatkan seluruh tubuhnya menjadi lemah.
ACCOUNT SUSPENDED
Dia menggosok mata. Dibuka sekali lagi. Masih sama. Tiada RM80,000. Tiada keuntungan. Tiada lagi apa-apa di skrin. Dia cuba menghubungi Sara. Panggilan dibuat. Berdering sekali, dua kali dan tiga kali. Akhirnya talian disambut.
“Sara…”
Tiada jawapan.
“Ini ayah.” Sunyi.
“Ayah cuma nak tanya…”
Suaranya mula bergetar.
“Jangan tutup telefon dulu…”
Namun sebelum sempat dia menghabiskan ayatnya, talian terputus. Dia cuba menelefon semula. Tidak bersambut. Telegram Sara juga sunyi. Cikgu Rafi terduduk di sofa.
Dari bilik, kedengaran suara halus Hajah Sopiah yang sedang lena. Dia memandang telefon di tangannya. Telefon yang beberapa minggu lalu membawa sebuah suara yang membuatkan dia berasa dihargai. Kini hanya tinggal sebuah skrin yang bisu.
Di luar rumah, hujan. Dan di ruang tamu yang sunyi itu, hanya kedengaran bunyi jam dinding.
Tik… tok… tik… tok…
Seolah-olah menghitung harga sebuah kepercayaan yang telah dibayar terlalu mahal.-UTUSAN
The post ‘Jangan tutup telefon dulu’ appeared first on Utusan Malaysia.
