
![]()
KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menepis dakwaan bahawa pihaknya ketinggalan dalam usaha merombak sistem penjurian Festival Filem Malaysia (FFM).
Sebaliknya, pembaharuan sistem penjurian yang bakal dilaksanakan pada FFM ke-35 akan mengukuhkan kredibiliti serta pengiktirafan terhadap anugerah filem paling berprestij di negara ini.
Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac berkata, perubahan tersebut dibuat selepas meneliti model penjurian yang diguna pakai di beberapa festival filem antarabangsa, selain mengambil kira bahawa tidak semua negara mengamalkan sistem penjurian yang sama.
“Bukan semua negara mengamalkan kaedah ini. Idea ini datang daripada Bront Palarae yang sering menghadiri festival filem di luar negara.
“Beliau mempelajari sistem penjurian tersebut sebelum berkongsi cadangan itu dengan kami.
“Ini merupakan satu lagi pilihan yang boleh kita laksanakan. Jadi, kita sebenarnya tidak ketinggalan,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Hans berkata, FINAS kini mengamalkan pendekatan yang lebih terbuka dengan turun padang bagi mendapatkan pandangan serta maklum balas daripada penggiat seni berhubung penganjuran FFM sebelum ini.
Menurutnya, rombakan sistem penjurian itu bukan sekadar bersifat percubaan, sebaliknya dirancang sebagai satu inisiatif jangka panjang demi memastikan FFM terus relevan dan diyakini industri.
“Saya berharap sistem ini dapat diteruskan walaupun selepas saya tidak lagi memegang jawatan sebagai Pengerusi Finas.
“Cadangan ini diusulkan oleh ahli-ahli Perbadanan dan merupakan keputusan secara kolektif, bukannya ditentukan oleh saya atau Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, secara peribadi.
“Jika pelaksanaannya berjalan lancar, kita akan teruskan perkara yang baik dan menambah baik mana-mana aspek yang masih mempunyai kelemahan,” katanya.
Dalam pada itu, Hans yang juga pelakon dan pengarah berpengalaman menyifatkan penglibatan lebih ramai penggiat industri dalam proses penjurian sebagai satu bentuk penghormatan serta pengiktirafan tertinggi kepada seseorang karyawan.
“Kalau saya bukan Pengerusi FINAS dan pihak perbadanan menghubungi saya untuk menjadi juri bagi kategori filem atau pelakon terbaik, saya akan berasa sangat terharu.
“Saya akan merasakan diri saya masih mempunyai nilai dan signifikan kepada industri.
“Itulah matlamat kita, iaitu menjadi lebih proaktif dengan melibatkan lebih ramai penggiat seni dalam usaha memperkasakan FINAS.
“Jika kita mahu melangkah ke tahap Oscar, kita perlu melabur kepada rakyat Malaysia sendiri supaya lebih banyak filem berkualiti tinggi dapat dihasilkan,” katanya.
Sebelum ini, FINAS mengumumkan Festival Filem Malaysia Ke-35 (FFM35) akan tampil dengan pembaharuan dalam sistem penjurian apabila pemenang bakal ditentukan menerusi gabungan penilaian juri profesional dan bekas pemenang FFM.
Fasa pertama melibatkan panel juri yang dipilih secara sulit oleh jawatankuasa khas bagi menilai penyertaan yang bertanding.
Fasa kedua pula menggunakan sistem pautan (link system), melibatkan kira-kira 100 hingga 150 pemenang FFM terdahulu yang akan diberikan helaian pemarkahan (score sheet) untuk menilai filem, pelakon serta calon terbaik dalam kategori yang dipertandingkan.
Malam Anugerah Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) dijadualkan berlangsung pada 21 November 2026 di Panggung Sari, Istana Budaya. -UTUSAN
The post Rombak sistem juri FFM35 bukan tanda kita ketinggalan – Hans Isaac appeared first on Utusan Malaysia.
