Auto Added by WPeMatico

![]()
BANGI: Pembinaan takungan air pinggir sungai (TAPS) membantu mengatasi masalah kekurangan bekalan air minuman di Lembah Klang sejak kira-kira 10 tahun lalu, sekali gus membuktikan pengurusan lebihan air mampu memberi manfaat besar kepada negara.
Profesor Adjung Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Emeritus Datuk Seri Dr. Zaini Ujang berkata, kejayaan itu menunjukkan lebihan air ketika hujan lebat tidak seharusnya hanya dilihat daripada sudut mitigasi banjir, sebaliknya perlu dimanfaatkan secara lebih menyeluruh.
Katanya, antara langkah yang telah dan sedang dilaksanakan ialah pembinaan takungan air hujan khususnya TAPS.
“Projek terkini pembinaan TAPS untuk bekalan air mentah di Rasau, dalam lembangan Sungai Klang. Selepas kita membina TAPS kira-kira 10 tahun lalu, masalah gangguan bekalan air minuman di Lembah Klang dapat dikurangkan dengan ketara, termasuk ketika musim kering.
“Sejak lebih 10 tahun lalu, beberapa skim pembinaan TAPS semakin diperluaskan termasuk di luar Lembah Kelang, termasuk di Melaka,” katanya ketika Program Simposium Bah Monsun 2026 di Bangi Resort Hotel, hari ini.
Menurut Zaini, Simposium Bah Monsun 2026 bertujuan menyelaras serta menghimpunkan pengalaman dan pengetahuan berkaitan pengurusan banjir supaya penyelidikan yang dijalankan tidak menghasilkan dapatan yang berulang.
“Banjir besar seringkali berlaku kebelakangan ini. Jadi, trend lebihan air dalam sesebuah lembangan perlu dimanfaatkan sebaiknya, tidak hanya memikirkan kesan negatifnya iaitu banjir,” katanya.
Zaini berkata, selain pembinaan TAPS, Malaysia juga perlu membangunkan sistem terusan air seperti yang dilaksanakan di beberapa negara lain.
“Sungai-sungai yang telah dinaik taraf boleh dimanfaatkan dengan lebih berkesan sekiranya disokong oleh sistem pam yang baik bagi menyalurkan air dari kawasan yang mempunyai lebihan bekalan ke kawasan mengalami kekurangan air.
“Perkara ini telah mula dibincangkan sesama kelompok penyelidik dan perancang, samada dalam bidang akademik atau agensi Kerajaan yang berkaitan. Kerangka pemikiran perlu berubah supaya memanfaatkan lebihan air,” katanya.
Tambah beliau, perubahan itu memerlukan negara beralih daripada kerangka pengurusan banjir sedia ada yang hanya memberi penekanan kepada mitigasi kepada usaha memanfaatkan banjir.
Katanya, negara seperti Belanda dan Jepun yang berdepan pelbagai risiko bencana alam, termasuk banjir berjaya menggunakan lebihan air untuk pembangunan termasuk sektor pertanian, penjanaan tenaga dan pelancongan.
“Belanda yang hanya sebesar negeri Pahang merupakan pengeluar hasil pertanian kedua terbesar di dunia kerana berjaya menggunakan sumber air yang ada.
“Kita perlu belajar dari negara-negara yang berhadapan dengan bencana seperti Switzerland, Iceland, Finland, Norway dan Denmark yang suatu ketika dahulu terpaksa berdepan kesukaran ketika musim salji.
“Namun sejak kira-kira 50 tahun lalu berjaya menjadikan taburan salji yang lebat sebagai sumber ekonomi melalui pelbagai aktiviti, termasuk bekalan air, dan sukan berkaitan salji.
“Apabila salji mencair, ia menjadi sumber air yang sangat besar. Sebab itulah tasik dan sungai mereka sentiasa cantik, bekalan air sentiasa mencukupi dan mempunyai banyak takungan di hampir setiap lembangan sungai,” katanya.
Menurut Zaini, Malaysia turut mempunyai kelebihan kerana menerima taburan hujan sekitar 2,500 milimeter setahun, malah di beberapa kawasan seperti Kelantan mencecah 3,000 milimeter setahun.
Katanya, jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding negara seperti Eropah yang hanya menerima kira-kira 1500 milimeter hujan setahun, dan Timur Tengah kira-kira 100 milimeter setahun.
“Kalau kita hanya berserah, kita tidak akan merubah destini dan maruah negara. Sebab itu hari ini kita membincangkan bagaimana untuk memanfaatkan banjir sebagaimana negara-negara lain memanfaatkan salji ketika musim sejuk.
“Hasil simposium ini akan dirundingkan bersama pelbagai pihak sebagai satu idea baharu bagi membentuk kerangka pengurusan banjir yang lebih menyeluruh.
“Usaha ini mendapat kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), JPS serta pelbagai pihak lain supaya hujan dan lebihan air tidak lagi hanya dilihat sebagai bencana, sebaliknya menjadi peluang untuk dimanfaatkan demi kepentingan negara,” katanya. – UTUSAN
The post TAPS atasi kekurangan bekalan air minuman di Lembah Klang appeared first on Utusan Malaysia.
