
SEBERANG PERAI – Sebuah pusat karaoke yang menawarkan layanan gadis pelayan pelanggan (GRO) diserbu Jabatan Imigresen (JIM) di Bukit Mertajam di sini, kira-kira pukul 1 pagi tadi.
Seramai 12 wanita warga asing berusia antara 25 hingga 30-an ditahan dan siasatan mendapati, salah seorang daripada mereka turut bekerja sebagai pembantu rumah pada siang hari dan menjadi GRO pada waktu malam.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM, Basri Osman berkata, tujuh warga Thailand, Indonesia (3) dan Vietnam (2) itu ditahan untuk siasatan lanjut.
“Semasa serbuan dijalankan, mereka sedang leka melayan pelanggan dan kita bertindak mengepung laluan utama termasuk pintu belakang bagi mengelakkan mereka melarikan diri.
“Selain memiliki kerja tetap seperti pembantu rumah dan pekerja kilang, mereka yang ditahan ini disyaki melanggar syarat pas lawatan kerja serta tinggal lebih masa tanpa dokumen sah,” katanya kepada pemberita di sini pagi tadi.
Katanya, kesemua wanita itu dipercayai mula berkhidmat di premis berkenaan kira-kira enam bulan lalu dengan caj antara RM150 hingga RM250 sejam.
“Operasi melibatkan 33 anggota dari ibu pejabat Imigresen, Perak dan Pulau Pinang. Semua ditahan akan dihantar ke Pejabat Imigresen Seberang Jaya untuk siasatan lanjut sebelum ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Jawi. -KOSMO! ONLINE
The post Siang jadi orang gaji, malam pula GRO ‘gebu’ appeared first on Kosmo Digital.