Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Seramai 13.1 juta rakyat telah berjaya melaksanakan transaksi Budi Madani RON95 (Budi95) sejak program itu dilaksanakan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, selepa satu bulan pelaksanaannya, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM2.6 bilion bagi RON95 bersubsidi dan melibatkan subsidi kerajaan sekitar RM800 juta.
“Purata jumlah liter yang digunakan penerima Budi95 bagi bulan Oktober adalah sebanyak 98 liter, iaitu 33 peratus daripada kelayakan bulanan 300 liter yang ditetapkan.
“Hanya kurang 0.7 peratus sahaja penerima Budi95 yang menggunakan sepenuhnya kelayakan bulanan mereka sebelum akhir bulan Oktober 2025,” katanya ketika di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) yang meminta Perdana Menteri menyatakan kemajuan bulan pertama pelaksanaan program Budi95 dan tindakan yang kerajaan ambil dalam menyelesaikan isu berbangkit.
Sementara itu Anwar berkata, kerajaan telah meluaskan kelayakan Budi95 kepada nelayan yang tidak mempunyai lesen memandu yang
berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan agensi Kerajaan Sabah dan Sarawak.
“Setakat 31 Oktober, hampir 24,000 pengguna bot berdaftar tanpa lesen memandu telah diluluskan untuk menerima Budi95,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Dewan Rakyat: 13.1 juta rakyat berjaya laksana transaksi Budi95 appeared first on Kosmo Digital.