Auto Added by WPeMatico

![]()
BALING – Pemuda yang maut akibat dilibas bilah pisau traktor di Kampung Bukit Rawa, Sedim di sini semalam pernah menyatakan hasrat untuk memandu jentera itu, namun pemilik kebun tidak membenarkannya berbuat demikian.
Menurut Mohd. Alif Rafae Md. Yusof, 26, abangnya, Allahyarham Mohd. Alif Farhan, 28, tidak dibenarkan memandu jentera tersebut, namun semalam arwah cuba mengendalikannya.
“Dua hari lalu, abang ada minta daripada pemilik kebun kelapa sawit itu untuk memandu traktor tetapi tidak dibenarkan kerana abang tidak pernah bawa. Namun, pada petang semalam, abang ditimpa kemalangan apabila terjatuh dari traktor sebelum mukanya dilibas bilah pisau jentera tersebut,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Baling di sini hari ini.
Katanya, dia dimaklumkan bahawa kejadian kira-kira pukul 3.20 petang itu berlaku ketika arwah abangnya sedang membersihkan kawasan kebun di situ, manakala pemilik kebun keluar membeli makanan.
“Pada waktu itulah abang saya yang mengalami sedikit masalah pembelajaran cuba memandu traktor itu. Mungkin disebabkan gagal mengawalnya dengan baik, abang terjatuh lalu mukanya terkena mata pisau,” ujarnya.
Menurutnya, akibat kejadian tersebut, abangnya yang masih berada di kawasan tebing di kebun berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Abang seorang yang rajin bekerja, suka membantu orang kampung dan akan melakukan apa sahaja kerja yang disuruh. Abang sangat gembira apabila menerima upah,” jelasnya.
Tambahnya, dia sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi itu dan jenazah abangnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda, Sedim petang ini. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Abang teringin pandu traktor, tak sangka maut dilibas bilah pisau’ appeared first on Kosmo Digital.