Auto Added by WPeMatico

SERAMAI 155 graduan asnaf diraikan dalam majlis apresiasi dan pengiktirafan peserta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) kali kedua baru-baru ini.
Program berlangsung di Dewan Ibnu Khaldun, Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu @ Terengganu Skills, Kuala Terengganu dengan disempurnakan Ketua
Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md. Salleh dan dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SRC Global Resources Sdn. Bhd., Datuk Nor Hisham Mohd. Arifin.
Program Latihan Kemahiran Asnaf 2026 merupakan inisiatif tajaan penuh MAIPk bagi memberi peluang kedua kepada golongan belia asnaf di negeri Perak untuk membina masa depan melalui program TVET yang memenuhi keperluan sebenar industri.
Menurut Syamsul Hazeman, bagi tahun 2026, MAIPk telah memberikan mandat untuk melatih keseluruhan seramai 255 peserta dalam tujuh bidang kemahiran iaitu Rigger Scaffolding TG20, Gas Pipe Fitter, Gas Pipe Insulation, Tank Cleaning, Fire Watcher, Non-Destructive Testing (NDT) dan Maritime Culinary.
“Majlis kali ini meraikan seramai 155 peserta daripada fasa pertama dan kedua yang telah mengikuti latihan pada Julai dan Ogos 2026 dalam enam bidang minyak dan gas iaitu Fire Watcher, Tank Cleaning, Rigger Scaffolding TG20, Gas Pipe Fitter, Gas Pipe Insulation dan NDT.
“Para peserta telah menjalani latihan antara satu hingga dua bulan serta menerima latihan teknikal dan pelbagai pensijilan yang berkaitan dengan keperluan industri,” katanya kepada K-Kampus.
Jelasnya, majlis tersebut bukan sekadar meraikan penerimaan sijil, sebaliknya mengiktiraf usaha dan keberanian para peserta untuk mengubah kehidupan mereka.
“Sijil yang diterima merupakan bukti bahawa para peserta telah berusaha meningkatkan keupayaan diri, membina kemahiran dan membuat persediaan untuk memasuki alam pekerjaan. Sijil tersebut diharapkan menjadi tiket yang membuka pintu kepada kehidupan lebih baik,” katanya.
Menurutnya, pendekatan MAIPk dalam memperkasa golongan asnaf bukan sekadar tertumpu pada bantuan bagi memenuhi keperluan semasa, malah menjadikan bantuan zakat sebagai satu bentuk pelaburan sosial yang mampu mengubah kehidupan penerima dalam jangka panjang.
“Bantuan zakat perlu menjadi batu loncatan, bukan tempat untuk seseorang terus berhenti. Melalui latihan kemahiran, peserta dibimbing daripada menerima bantuan kepada memiliki kemahiran, seterusnya memperoleh pensijilan, pekerjaan dan pendapatan sehingga mampu berdikari serta membantu keluarga masing-masing,” katanya.
SRC Global Resources Sdn. Bhd. telah diberikan amanah sebagai penyedia dan penyelaras latihan, termasuk menguruskan proses pemilihan peserta, latihan kompetensi, pensijilan, pemantauan serta penempatan pekerjaan selepas tamat latihan.

Nor Hisham dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada MAIPk atas kepercayaan yang diberikan kepada SRC Global Resources untuk melaksanakan Program Latihan Kemahiran Asnaf Tahun 2026.
Menurutnya, program berkenaan bukan sekadar bertujuan memberikan latihan dan sijil, sebaliknya menyediakan kemahiran yang benar-benar diperlukan industri serta membuka laluan kepada peserta untuk membina masa depan yang lebih baik.
Sehingga kini, hampir semua peserta telah berjaya memulakan kerjaya masing-masing khususnya dalam industri minyak dan gas serta bidang berkaitan.
Antara syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan kepada peserta adalah MSL Engineering Resources Sdn. Bhd; Langkah Tepat, Transismore Sdn. Bhd; Asar Engineering Sdn. Bhd; A Star Testing & Inspection Sdn. Bhd; UBF Maintenance Sdn. Bhd. dan Dialog Berhad.
Penempatan tersebut menunjukkan bahawa kemahiran dan pensijilan diperoleh peserta mempunyai nilai serta dapat diterjemahkan kepada peluang pekerjaan sebenar.
Seorang graduan yang juga bekas polis bantuan kelahiran Tambun, Perak, Muhammad Nor Irwan Mohd. Sabri, 30, bersyukur atas kejayaannya menamatkan kursus dalam bidang minyak dan gas.
“Sebelum ini saya bekerja selama sembilan tahun sebagai polis bantuan dan isteri yang minta saya buat permohonan kepada MAIPk kerana dia tahu saya minat bidang kemahiran.
“Alhamdulillah selepas lulus temu duga, saya gagahkan diri untuk tinggalkan isteri dan seorang anak di kampung untuk dihantar ke Kuala Terengganu bagi ikuti kursus dan latihan lapangan serta amali selama hampir dua bulan sebelum diberikan sijil pengiktirafan,” katanya.
The post 155 pelatih TVET asnaf Perak dirai, mula bekerja appeared first on Kosmo Online.
