Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Sebuah Honda Mobilio yang didakwa hadiah sempena hari jadi ibu rupanya dipercayai kereta klon selepas ditahan dalam operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di Jalan Genting Klang, malam tadi.
Kenderaan itu ditahan kira-kira pukul 7 malam menerusi Ops KPA selepas didapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah tamat tempoh selain tidak mempunyai perlindungan insurans.
Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata, semakan lanjut mendapati jenis serta model kenderaan berkenaan tidak sepadan dengan rekod dalam sistem MySikap.
“Pemeriksaan terhadap nombor casis dan nombor enjin turut mendapati tiada rekod pendaftaran sah bagi kenderaan tersebut sekali gus menimbulkan syak bahawa ia adalah kenderaan klon.
“Wanita tempatan berusia 34 tahun yang memandu kenderaan itu memaklumkan dia hanya menggunakan kereta berkenaan sejak seminggu lalu selepas dipinjamkan oleh ahli keluarganya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, wanita terbabit turut mendakwa kenderaan itu merupakan hadiah hari jadi untuk ibunya dan urusan pembelian dibuat oleh abangnya yang menetap di Singapura.
Susulan itu, JPJ WPKL mengeluarkan Notis Saman P22 dan menyita kenderaan tersebut mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi tindakan lanjut.
Antara kesalahan dikesan ialah menggunakan kenderaan tidak berdaftar di bawah Seksyen 7(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, mempamerkan nombor pendaftaran milik kenderaan lain mengikut Seksyen 108(3)(f) akta sama serta tiada perlindungan insurans di bawah Seksyen 90(1).
Ujarnya, penggunaan kenderaan klon dipandang serius kerana boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya dan menyukarkan proses penguatkuasaan. – KOSMO! ONLINE
The post Kereta sempena hadiah hari jadi ibu rupanya klon appeared first on Kosmo Digital.
