Auto Added by WPeMatico

![]()
MELAKA – Kerajaan negeri ini menggesa ibu bapa lebih tegas mengawal penggunaan gajet dalam kalangan anak-anak susulan peningkatan kes jenayah membabitkan remaja yang didakwa terpengaruh dengan kandungan diakses melalui telefon pintar.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita negeri, Datuk Khalsom Nordin berkata, ketagihan terhadap peranti dan media sosial kini menjadi antara punca gejala sosial serta tingkah laku agresif dalam kalangan golongan muda.
“Kita dengar kes bunuh adik sendiri, kes rogol, kes rakam video dalam kelas, semuanya melibatkan telefon dan pengaruh kandungan yang salah. Satu jam, dua jam sudah cukup. Lepas itu kita tarik (telefon bimbit). Walaupun dia menangis, biarlah. Kita kena pantau mereka,” katanya selepas menghadiri Program Apprentice Wanita Muda anjuran World Youth Foundation dengan kerjasama Pembangunan Wanita Negeri Melaka, di sini hari ini.
Jelasnya, institusi keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk adab dan moral generasi muda, justeru pemantauan dan disiplin terhadap penggunaan teknologi perlu diterapkan sejak kecil.
“Anak-anak ini pemimpin masa depan, kalau dari kecil tidak ada adab, tidak ada ilmu, negara kita yang akan rugi nanti.
“Sebab itu juga, program ini diadakan bagi membina daya kepimpinan serta kefahaman mengenai nilai, etika dan peranan wanita muda, selain mendidik mereka agar lebih bijak mengurus masa dan teknologi dalam kehidupan seharian,” jelasnya.
Terdahulu, program berkenaan menghimpunkan lebih 100 peserta terdiri daripada wanita muda bagi memupuk kepimpinan dan kesedaran sosial dalam era digital. – KOSMO! ONLINE
The post Lepas satu jam, ‘tarik’ telefon anak appeared first on Kosmo Digital.