Auto Added by WPeMatico

MELAKA – Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan maut dipercayai tertindih lengan bapanya yang tidak bernyawa akibat terkena serangan jantung dalam kejadian menyayat hati di Kampung Perigi Hang Tuah, di sini, pagi tadi.
Mangsa lelaki, Nurul Efendy Ibrahim, 35, ditemui tidak sedarkan diri oleh isterinya yang pulang ke rumah kira-kira pukul 9.30 pagi tadi, manakala bayi, Muhammad Nur Daniel Nurul Efendy, dilihat berada di bawah lengannya.
Isteri mangsa Azura Abdul Malik, 37, berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian suami dan bayinya.
“Saya terkejut apabila mendapati suami tidak sedarkan diri dan bayi kami berada di bawah lengannya.
“Saya tak jumpa kesan darah atau cedera dan terus hubungi pihak hospital untuk bantuan sebelum suami disahkan telah meninggal dunia di rumah,” katanya.
Tambahnya, ketika kejadian bayinya itu masih bernyawa namun dalam keadaan lemah.
“Bayi kami meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan,” ujarnya ringkas.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, Pegawai Bomba Kanan (PBK) ll Mohd. Supian Md. Dali berkata, panggilan kecemasan telah diterima daripada pihak hospital pada pukul 9.58 pagi.
“Kami dimaklumkan terdapat satu mangsa lelaki berusia 30 tahun telah meninggal dunia di lokasi dan bayinya ketika mendapatkan rawatan di hospital.
“Pihak hospital mohon pasukan membuat pemeriksaan di kediaman tersebut sekiranya berlaku kebocoran gas, namun hasil siasatan lanjut mendapati mangsa mungkin maut akibat serangan jantung, jadi bantuan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dibatalkan,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE
The post Bayi 3 bulan maut tertindih lengan bapa kena serangan jantung appeared first on Kosmo Digital.