Auto Added by WPeMatico

![]()
GEORGE TOWN – Masa depan Pesta Pulau Pinang masih lagi ‘tergantung’ apabila hala tuju penganjurannya masih belum muktamad selepas kerajaan negeri memutuskan untuk merehatkan acara itu selama enam tahun bagi memberi laluan kepada projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri bersama agensi berkaitan dan MRT Corp selaku pemaju sedang meneliti pelan induk pembangunan semula kawasan pesta itu.
Menurutnya, keputusan mengenai penganjuran semula Pesta Pulau Pinang hanya boleh dibuat selepas pelan pembangunan dimuktamadkan, termasuk kemungkinan menganjurkan pesta dalam skala lebih kecil di baki tanah yang masih ada atau memindahkannya ke lokasi sementara.
“Jadi kerja-kerja perancangan masih berjalan. Kalau dihidupkan semula, pesta tidak melibatkan kawasan seluas sekarang sebab kita perlu tolak depoh dan lain-lain yang akan dibina di situ.
“Tetapi rancangan spesifik tentang penempatan semula pesta sama ada di tapak ini daripada baki tanah pembangunan depoh dan lain-lain, kita tunggu hasil pelan induk sebelum kita boleh muktamadkan.
“Melainkan dalam tahun akan datang, kita dapat cari satu tapak yang mungkin sesuai untuk anjurkan sementara, tetapi itu cuma dalam fikiran sahajalah kerana kita belum laksanakan apa-apa kajian lanjut mahupun pencarian tapak untuk tujuan itu,” katanya di sini, malam tadi.
Jelasnya, MRT Corp dijangka mengambil alih sepenuhnya tapak pesta itu pada April tahun depan, yang bakal dijadikan hab pembangunan berorientasikan transit (TOD) dengan komponen bercampur termasuk kediaman.-KOSMO! ONLINE
The post Pesta P. Pinang ‘direhatkan’ 6 tahun appeared first on Kosmo Digital.