
MUAR – Seorang pempengaruh permotoran dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas kereta Perodua Axia dinaikinya ditemui terbabas ke dalam sungai di Bukit Kepong di sini, semalam.
Mangsa, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang juga dikenali sebagai Ija Nizaruddin dilaporkan kali terakhir dilihat keluar dari rumahnya di Jalan Setia Indah di Johor Bahru, pada pukul 12 tengah hari.
Difahamkan, mangsa menaiki kereta Perodua Axia berwarna putih bernombor pendaftaran JUH 249 untuk ke bengkel rakannya di Parit Jawa di sini.
Menurut rakan baik mangsa, Muhammad Nazmi Mohd Zainal, 30, kereta mangsa sudah ditemui terjunam ke dalam sungai di Bukit Kepong, tetapi mangsa masih lagi belum ditemui.
“Buat masa ini, pihak bomba dan penyelamat sedang melakukan pencarian ke dalam sungai dan sekitarnya bagi mengesan mangsa.
“Isterinya ada memaklumkan yang sebelum ini suaminya (Ija) pernah mengalami serangan jantung ketika memandu. Kita doakan yang terbaik untuk Ija semoga dia ditemui selamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Nazmi, mengikut laporan polis daripada isteri mangsa, usaha menghubungi mangsa selepas pukul 4 petang pada Isnin namun gagal. Isteri mangsa cuba menjejaki dengan kedudukan sistem posisi sejagat (GPS) serta menghubungi rakannya di Parit Jawa, namun menemui jalan buntu.
Ujar Nazmi, keluarga mangsa turut menjalankan usaha mencari sekitar kawasan Lenga, Bukit Kepong dan pekan Muar sekitar pukul 1 pagi hari ini, namun tidak menemui sebarang petunjuk. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE
The post Pempengaruh permotoran dikhuatiri hilang, Axia terjunam sungai appeared first on Kosmo Digital.