Auto Added by WPeMatico
Na’imah mohon perintah larangan bersuara terhadap Anwar

![]()
KUALA LUMPUR – Balu bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid akan memfailkan permohonan perintah larangan bersuara terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menghalang sebarang perbincangan terbuka berhubung kes yang sedang berjalan di mahkamah.
Peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili Na’imah berkata, kenyataan demi kenyataan yang dibuat oleh Anwar, yang didakwa merujuk kes melibatkan anak guamnya, merupakan satu bentuk subjudis kerana perbicaraan masih berlangsung.
Beliau berkata, permohonan larangan bersuara atau ‘gag order’ itu merujuk kepada 17 artikel berkaitan ucapan Anwar yang disiarkan menerusi platform media antara 2024 hingga 2025.
“Kami telah membuat satu permohonan lisan supaya mahkamah mengarahkan Perdana Menteri menghentikan kenyataan-kenyataan yang bersifat subjudis terhadap Na’imah. Antara perkataan yang digunakan adalah ‘sakau’ dan ‘mencuri berbilion ringgit’.
“Perkara ini tidak sepatutnya dilakukan. Sebarang kenyataan boleh dibuat selepas perbicaraan selesai, bukan semasa perbicaraan sedang berjalan.
“Jadi, permohonan lisan hari ini adalah berdasarkan tindakan subjudis Anwar dan terdapat kebimbangan besar bagi pihak kami mengenai campur tangan (kuasa) eksekutif dalam kes ini,” katanya ketika ditemui pihak media selepas prosiding hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamri berhujah tiada sebarang kenyataan oleh Perdana Menteri yang mempersoalkan atau membuat sebarang komen berkenaan kes yang sedang berjalan di mahkamah.
Malah, katanya, pihaknya hanya menerima senarai 17 artikel tersebut pada saat-saat akhir iaitu sebelum mahkamah bersidang hari ini.
“Komen-komen yang dinyatakan (Perdana Menteri) adalah berbentuk umum, melibatkan pertuduhan yang telah dibuat oleh mahkamah.
“Ini bukan bermaksud komen itu mempersoalkan sebarang perbicaraan yang sedang berlaku atau keterangan yang dikemukakan dalam perbicaraan. Atas alasan tersebut, isu-isu yang dibangkitkan iaitu perbicaraan yang adil tidak berbangkit dalam perkara ini.
“Walau bagaimanapun, jika mahkamah ingin mendengar lebih lanjut mengenai isu ini, saya percaya satu permohonan secara rasmi perlu difailkan oleh pihak pemohon,” katanya.
Hakim Azura Alwi bagaimanapun menolak permohonan lisan itu dan mengarahkan peguam pemohon mengemukakan permohonan ‘gag order’ secara rasmi kepada pihak mahkamah.
Mahkamah kemudian menetapkan 6 Mac depan untuk pengurusan kes tersebut.
Na’imah, 68, didakwa pada 23 Januari 2025 kerana gagal mematuhi notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 berhubung pengisytiharan aset termasuk kepentingan dalam Ilham Tower Sdn. Bhd. dan Ilham Baru Sdn. Bhd., dua kereta Mercedes-Benz serta beberapa hartanah di Bukit Tunku, Taman Tunku, Jalan Cantonment Road di Pulau Pinang dan Jalan Athinahapan, Taman Tun Dr. Ismail.
Beliau turut memohon agar persoalan undang-undang berkaitan Seksyen 30(5), Seksyen 36(2) dan Seksyen 62 Akta SPRM 2009, selain Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.
Pertuduhan itu membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM100,000 jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE
The post Na’imah mohon perintah larangan bersuara terhadap Anwar appeared first on Kosmo Digital.
