Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Penganjur konsert Elegant Selamanya meluahkan rasa terkilan dengan tindakan pihak pengurusan penyanyi, Hussain yang bertindak membatalkan penglibatan dalam Konsert Elegant Selamanya pada saat akhir tanpa alasan munasabah.
Menurut wakil penganjur yang juga Pengarah Elegant Cosmetic, Datuk Al Amin, penarikan diri tersebut mengundang pelbagai respons negatif daripada orang ramai termasuk menuduhnya menggunakan Hussain untuk melariskan konsert.
“Ikutkan saya tidak mahu menjawab isu berkaitan konsert Elegant Selamanya di mana pihak saya seolah-olah dituduh menipu dan sengaja menggunakan populariti Hussain.
“Jika ada yang perasan, poster pertama konsert Elegant Selamanya melibatkan artis baru Hussain tetapi poster kedua fotonya tidak lagi terpampang.
“Ingin saya jelaskan di sini, Hussain juga sepatutnya terlibat kerana pihak pengurusan Hussain sudah pun bersetuju untuk sama-sama meriahkan konsert,” katanya.
Mengulas lanjut, dia tidak menyangka pihak pengurusan penyanyi tersebut mengambil keputusan mengejut kerana segala persiapan awal dan promosi sudah dibuat.
“Pihak pengurusannya sendiri telah membatalkan penglibatan Hussain pada saat akhir tanpa alasan yang konkrit.
“Saya sendiri agak terkejut dan terkilan kerana poster awal yang melibatkan wajah penyanyi itu sudah tersebar luas tetapi dimaklumkan Hussain tidak boleh terlibat tanpa alasan yang munasabah,” katanya lagi.
Ujarnya, rasa kecewa tersebut juga disebabkan pihak pengurusan Hussain yang dianggap lepas tangan selepas menerima bayaran awal.
“Dengan penjelasan ini, saya harap semua dah jelas, cuma saya sebagai penganjur agak terkilan dengan cara pihak pengurusan Hussain.
“Sepatutnya kalau nak tarik diri, janganlah di saat-saat akhir kerana poster sudah disebarkan, deposit juga dibayar dan persiapan oleh pihak kami telah dibuat,” ujarnya.
Bukan sahaja terkilan dengan tindakan pembatalan mengejut, penganjur turut mendedahkan wang deposit yang dibayar masih belum dipulangkan sehingga kini.
“Deposit juga dah dibayar tetapi sampai sekarang, pihak saya belum lagi menerima pemulangan wang tersebut.
“Sudah hampir dua minggu pihak saya meminta pihak pengurusan Hussain memulangkan semula deposit yang dah dibayar, tetapi jawapan yang diterima masih dalam proses,” ujarnya lagi.
Rentetan itu, dia memohon maaf kepada peminat dan menegaskan tiada sebarang niat untuk mencetuskan kontroversi atau mengelirukan mana-mana pihak.
“Saya mewakili syarikat saya dan jenama produk saya memohon maaf kepada peminat-peminat Hussain.
“Kami tidak ada niat untuk menipu atau mencari kontroversi tetapi perjanjian (deal) yang dah dipersetujui antara pihak saya dan pihak pengurusan Hussain adalah, dia akan terlibat dalam konsert nanti.
“Kami tiada niat untuk mengelirukan peminat Hussain selain berharap pihak pengurusan Hussain mempercepatkan proses pemulangan deposit,” jelasnya.
Terdahulu, isu tersebut mula mencetuskan persoalan dalam kalangan peminat selepas gambar Hussain tidak lagi terpampang dalam poster baharu konsert tersebut.
Perkara tersebut sekali gus menyebabkan penganjur dituduh sengaja menipu dan menggunakan populariti penyanyi itu untuk mempromosikan konsert yang bakal berlangsung pada 30 Oktober depan di Zepp KL. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Hussain tarik diri saat akhir, pengurus dan deposit lesap’ appeared first on Kosmo Online.
