Auto Added by WPeMatico

SERINGKALI sebuah kerajaan jatuh bukanlah kerana musuhnya terlalu kuat, tapi disebabkan kelicikan rencong dalam lipatan. Kita mula bertanya-tanya mengapa Syahbandar berpaling tadah, sedang dia menjadi orang kepercayaan Sultan dan disayang rakan bangsawan.
Namun, beberapa kelakuan menunjukkan Syahbandar mahukan apa yang Tun Perpatih ada iaitu rasa hormat Sultan yang tidak boleh diperoleh sekadar pangkat, walau kita duduk di ruangan yang sama. Saya percaya emas dari Siam sekadar ‘gula-gula’, api sebenar yang membara berpunca daripada krisis rendah dirinya atau inferiority complex telah bersarang lama.
Teater muzikal Mansur & Liu, arahan Datuk M.Nasir, menunjukkan langkah demi langkah dan strategi dilakukan Syahbandar sehingga berjaya meletakkan Mansur dalam perangkap dilema seorang pemerintah. Dia tahu Mansur setia dan percaya kepada tulang belakang yang dipilihnya kerana selalu mengulang ayat ‘jika kita bersatu..,’ atau ‘bersatulah kita semua’.
Tapi tidakkah Mansur tahu, untuk bersatu kita perlu kenal buah mana yang membusuk diasingkan terlebih dahulu? Situasi itu pasti pantas dibaca Tun Perpatih. Kecerdasan Tun Perpatih itu juga menjadi keresahan utama Syahbandar kalau-kalau hasrat busuk menggulingkan Melaka akan terhidu. Ketika Tun Perpatih belayar ke China, Syahbandar akhirnya menemukan masa tepat untuk memulakan operasinya.
Syahbandar mulakan dengan membina jaringan peribadi, berkawan dan menakluk kepercayaan Tun Seri Anem yang dia tahu menaruh hati kepada Mansur. Dia juga sedar aliran maklumat perlu dikawal baik di dalam atau di luar istana.
Dia tahu sedikit sukar membuat rakan-rakan bangsawan percaya kepada desas desus, maka dia mula menanam ragu terhadap Tun Perpatih dengan mengumpat serba serbi. Tidak banyak, tapi konsisten di hadapan Mansur dengan ayat lebih kurang ‘saya dengar orang di pelabuhan kata Tun begitu’.

Sebagai yang bertanggungjawab mengawal perairan Melaka, dia mulakan sebuah naratif kepada penduduk Melaka kononnya China bakal menyerang mereka. Ketakutan adalah bentuk manipulasi.
Orang akan lakukan apa sahaja dalam keadaan terdesak. Penduduk mula kacau bilau, mula mempertanyakan kredibiliti Mansur yang ada di istana, kemenangan kecil untuk Syahbandar.
Khabar angin sangat mudah dianggap sebagai kebenaran, saya suka untuk membincangkan perkara ini dalam huraian teater Mansur & Liu. Syahbandar tahu penduduk tidak akan mudah mendapat akses maklumat, atau boleh jadi juga dia tahu orang kita memang malas untuk buat semakan berita didengar.
Maka spekulasi akan berubah menjadi social sensemaking, istilah digunakan dalam kajian Bordia dan DiFonzo di mana kita akan berbincang mengenai berita didengar untuk mengurangkan keresahan.
Penduduk Melaka berbincang situasi perang lagi dan lagi. Namun secara psikologinya, apabila sesuatu perkara itu kita dengar dengan lebih kerap, kita akan mudah menganggapnya sebagai kebenaran. Juga, satu lagi kemenangan kecil buat Syahbandar.
Syahbandar merancang sebuah perang lebih besar. Melaka tidak boleh hanya dijatuhkan Siam. Melaka harus dibuat mempunyai musuh lebih besar sehingga jika hendak bangkit kembali pun mustahil untuk dilakukan. Menerusi Anem, dia harus pastikan Liu dibunuh. Jika khabar Liu mati dibunuh sampai ke pengetahuan Maharaja, China tidak akan berdiam diri. Dendam luar biasa akan berlaku.
Bagaimanapun, malapetaka ini diselamatkan dengan satu perkara iaitu Mansur adalah seorang sultan yang mahu ambil tahu. Belayar ke perairan mencari tahu siapa Liu. Menyamar di pekan melihat apa dikata rakyat jelata. Cukup tangkas mengetahui di mana Tun Perpatih berada. Jurang atau kasta adalah bahaya yang boleh membuat kita mudah menanam curiga. Namun kata Usman Awang, Bukankah kecurigaan telah terbunuh ketika kita bersapa?
The post Melihat licik dan benar dalam Mansur & Liu appeared first on Utusan Malaysia.




