
![]()
PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) dan bekas ketua pegawai kewangan (CFO) sebuah syarikat milik badan berkanun yang disyaki menyalahgunakan kuasa dalam proses pembelian saham dua syarikat perladangan bernilai RM370 juta.
Sumber berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 68 dan 60 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini kira-kira pukul 6.30 petang semalam.
Bagaimanapun, kedua-duanya dibebaskan pada malam yang sama atas faktor kesihatan dan dijadual hadir semula ke Ibu Pejabat SPRM pada pukul 10 pagi ini bagi menyambung rakaman percakapan.
“Penahanan itu dibuat susulan siasatan pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 29 Julai lalu,” katanya, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana disyaki melibatkan penyalahgunaan kuasa. – KOSMO! ONLINE
The post Bekas CEO, CFO ditahan bantu siasatan pembelian saham RM370 juta appeared first on Kosmo Digital.



