Auto Added by WPeMatico

![]()
PUTRAJAYA – Bekas ketua pegawai kewangan (CFO) kumpulan sebuah syarikat milik badan berkanun tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini bagi dirakam keterangan berhubung proses pembelian saham dua syarikat perladangan bernilai RM370 juta.
Wanita itu hadir bagi membantu siasatan berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji.
Individu tersebut tiba di pejabat SPRM dengan menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna hitam pada pukul 11.40 pagi tadi.
Setakat ini, seramai tiga individu dipanggil bagi membantu siasatan kes berkenaan termasuk dua individu yang ditahan semalam.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan bekas CFO syarikat milik badan berkanun ditahan hadir ke pejabat SPRM untuk membantu siasatan.
Dua individu berusia 68 dan 60 tahun dipercayai menyalahgunakan kuasa dalam proses pembelian saham dua syarikat perladangan bernilai RM370 juta.
Menurut sumber SPRM, kedua-dua mereka ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini kira-kira 6.30 petang semalam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman dilaporkan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Tangkapan itu susulan siasatan pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan RCI Tabung Haji yang didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia pada 29 Julai lepas. – KOSMO! ONLINE
The post RCI Tabung Haji: Bekas CFO beri keterangan di Pejabat SPRM Putrajaya appeared first on Kosmo Digital.
