Auto Added by WPeMatico

![]()
KEMAMAN – Sepasang suami isteri berdepan detik cemas selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka gagal mengelak lalu merempuh sekumpulan gajah liar di Kilometer 274.6, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) selepas susur keluar Plaza Tol Cheneh, di sini malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 10.20 malam itu, Abdul Wahid Ismail, 54, bekerja sebagai pemandu lori dan isterinya, Fauziah Muda, 52, cedera ringan pada bahagian tangan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Razi Rosli berkata, sewaktu kejadian, pasangan suami isteri itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka ke Kampung Pasir Gajah, di sini dari Cheneh, di sini.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa Abdul Wahid memandu kenderaan jenis Toyota Estima terkejut dengan kemunculan sekumpulan gajah yang berada di tengah lebuh raya.
“Dia tidak sempat mengelak lalu merempuh kumpulan haiwan liar terbabit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Razi berkata, impak rempuhan itu menyebabkan bahagian hadapan kenderaan dinaiki Abdul Wahid dan isteri remuk teruk.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh, Zubaderi Zahari berkata, sepasukan lapan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat kemalangan tersebut.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami segera mengeluarkan mangsa wanita (Fauziah) yang cedera pada kedua-dua tangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Suami isteri cedera, Toyota Estima rempuh kumpulan gajah di LPT 2 appeared first on Kosmo Digital.
