
![]()
KUALA LUMPUR – Jabatan Wilayah Persekutuan menubuhkan pasukan petugas khas bagi mempercepatkan proses pewartaan baki kawasan hijau dan kawasan lapang di Kuala Lumpur yang masih belum disempurnakan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, pasukan berkenaan akan memberi tumpuan kepada penyelesaian isu teknikal, penyelarasan antara agensi serta memastikan proses pewartaan tidak tertangguh di peringkat pentadbiran.
“Setiap tapak berada pada peringkat proses yang berbeza, justeru tempoh pewartaan tidak boleh diseragamkan, namun arahan jelas diberikan supaya semua kes dipercepatkan sebaik mungkin.
“Setakat ini, kira-kira 256 tapak masih dalam proses pewartaan, termasuk kawasan seperti Taman Rimba Kerinchi, yang menjadi lokasi rekreasi penting penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian Ketika sidang akhbar bersama wakil penduduk ketika sidang media berkaitan data terbuka senarai kawasan hijau dan kawasan lapang yang telah diwartakan di Wilayah Persekutuan di Taman Rimba Bukit Kerinchi, hari ini.
Tambah Hannah, kerajaan turut menegaskan komitmen untuk terus berinteraksi secara telus dengan masyarakat serta menggalakkan penambahan kawasan hijau baharu menerusi projek pembangunan semula dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan agensi berkaitan. – KOSMO! ONLINE
The post Pasukan petugas khas ditubuh, percepat pewartaan baki kawasan hijau KL appeared first on Kosmo Digital.