
PETALING JAYA – Anjung MalaysiaKu X Foodie Fiesta 2025, festival makanan dan gaya hidup terbesar yang julung kali diadakan, bakal menyediakan hampir 300 lot niaga sempena sambutan Hari Malaysia dan Hari Usahawan Negara (HUN) 2025.
Festival anjuran Raydiates Blue Sdn. Bhd. (Raydiates) bersama Foodie Media (KL Foodie) akan berlangsung selama hari bermula 12 September ini di perkarangan parkir Stadium Nasional Bukit Jalil.
Penganjur Bersama yang juga Pengarah Urusan, Raydiates, Rayme Zainal berkata, penyertaan daripada vendor makanan, minuman termasuk yang mahu mempromosikan produk halal, fesyen, kraf dan produk gaya hidup dialu-alukan kerana ia memberi peluang berpotensi buat usahawan yang menyertainya.
Ini adalah platform mega yang menghimpunkan ribuan usahawan, inovator, dan pemain industri daripada pelbagai latar belakang, bidang dan skala perniagaan selain penyertaan daripada syarikat luar negara seperti Indonesia dan China.
Menurut beliau, lot niaga adalah terhad mengikut kategori dan akan ia dibuka untuk jualan kepada peserta atau usahawan yang mendaftar awal.
“Anjung Malaysiaku X Foodie Fiesta 2025 bukan sekadar festival makanan, ia adalah platform untuk mengangkat usahawan tempatan, mempromosikan budaya Malaysia dan merapatkan jurang antara komuniti perniagaan serta masyarakat bersempena sambutan Hari Malaysia dengan sokongan daripada Kementerian Pelancongan dan Seni Budaya (MOTAC).
“Kerjasama strategik dengan Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM) bersempena Hari Usahawan Negara (HUN) 2025 memberikan nilai tambah kepada penganjuran itu kerana ia menghubungkan terus peserta dengan peluang perniagaan, jaringan usahawan dan akses pasaran yang lebih luas,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Melalui tema Usahawan Nadi Negara, HUN 2025 bukan sahaja medan perniagaan malah menjadi pengalaman lengkap yang mempamerkan keindahan dan kepelbagaian Malaysia kepada dunia menerusi pelbagai aktiviti.
Antaranya pameran perniagaan tempatan dan antarabangsa, forum dan perkongsian bersama ikon industri, pertandingan inovasi dan pitching pelaburan serta jaringan perniagaan.
Orang ramai tidak perlu bimbang tentang kesesakan jalan raya untuk ke lokasi berkenaan kerana mereka boleh menggunakan kemudahan LRT dan juga terdapat banyak tapak parkir kenderaan disediakan di sekitar kawasan bagi menampung pertambahan jumlah pengunjung. -KOSMO! ONLINE
The post Anjung MalaysiaKu X Foodie Fiesta sedia 300 lot niaga untuk usahawan appeared first on Kosmo Digital.