Auto Added by WPeMatico

Nama Sharifah Sofia Syed Hussein pernah dikenali antara pelakon popular di kaca televisyen. Namun hari ini, dia lebih selesa dikenali bukan sebagai selebriti, sebaliknya sebagai seorang aktivis yang aktif perjuangkan kelestarian alam sekitar dan misi kemanusiaan.
KELUAR ZON SELESA DEMI BERI MANFAAT
Sharifah Sofia Syed Hussein mendedahkan kehidupannya bukan lagi sekadar tentang mengejar populariti atau perhatian, sebaliknya lebih bermakna apabila pengalaman, masa dan kemampuan yang dimiliki dapat digunakan untuk memberi manfaat kepada orang lain.
Bagi wanita berusia 41 tahun itu, setiap individu mempunyai ruang untuk berkembang dan mencipta perubahan tanpa mengira usia atau latar belakang, selagi mempunyai keberanian untuk keluar daripada zon selesa serta meneroka perkara baharu.
Ramai mengenali Sharifah Sofia sebagai pelakon yang mencipta nama sejak usia muda selepas mula terlibat dalam iklan komersial ketika berusia 9 tahun sebelum mengembangkan kerjaya lakonan menerusi drama Spanar Jaya pada usia 15 tahun.
Namun, selepas tidak lagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada dunia hiburan, dia memilih untuk meneroka pelbagai bidang yang lebih dekat dengan minat dan prinsip hidupnya.
Daripada aktiviti menyelam, pemuliharaan alam sekitar, bantuan kecemasan sehinggalah latihan bersama pasukan penyelamat, Sharifah Sofia terus mencabar dirinya dengan mencuba perkara baharu yang bukan sahaja menguji kemampuan fizikal dan mental, malah membuka peluang untuk menyumbang kepada masyarakat.
Menurutnya, seseorang tidak seharusnya membiarkan rasa takut menjadi penghalang untuk mencuba sesuatu yang baharu kerana setiap pengalaman yang dilalui mampu membantu seseorang mengenali potensi diri.
“Sebenarnya kita terlalu lama berada dalam zon selesa sehingga kita terlalu takut untuk bergerak dan mencuba sesuatu yang baharu.
“Tetapi apabila kita mencuba, kita akan sedar bahawa sebenarnya kita mampu melakukan lebih daripada apa yang kita sangkakan. Walaupun kita gagal, kita tetap hebat kerana kita berani mencuba,” katanya.

Cabaran bukan sekadar untuk membuktikan kemampuan kepada orang lain, tetapi menjadi ruang untuk seseorang memahami kekuatan dan kelemahan diri sendiri.
Selepas melalui pelbagai pengalaman dalam kehidupan, Sharifah Sofia mula memberi perhatian kepada aktivis khususnya dalam memperjuangkan alam sekitar, kemanusiaan dan kebajikan haiwan.
Antara pengalaman yang paling memberi kesan kepadanya ialah apabila dia menyertai misi berjalan kaki sejauh 325 kilometer dari Merapoh, Pahang ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai usaha menyuarakan kebajikan terhadap haiwan.
Perjalanan yang mengambil masa sembilan hari itu dilakukan sepenuhnya dengan berjalan kaki tanpa menggunakan sebarang kenderaan sebagai simbol kesungguhan terhadap suara yang dibawa.
Menurutnya, cabaran terbesar sepanjang misi tersebut bukan sekadar menguji ketahanan fizikal, tetapi turut menguji kekuatan mental apabila dirinya mula mempersoalkan sama ada usaha itu mampu membawa perubahan kepada masyarakat.
Walaupun mengalami kecederaan otot sehingga perlu mendapatkan rawatan, dia tetap meneruskan perjalanan kerana mahu berpegang kepada prinsip yang telah ditetapkan.
“Orang ada cakap naik kereta sahaja, tetapi bagi saya itu soal prinsip. Kita sudah kata kita akan berjalan kaki, jadi saya tidak mahu menipu,” katanya.
Walaupun tidak tiba pada masa yang dirancang, usaha tersebut tetap mendapat perhatian apabila beberapa pihak termasuk media membuat liputan selain orang ramai turut menyertai sebahagian daripada perjalanan itu sebagai tanda sokongan.
Bagi Sharifah Sofia, pengalaman tersebut mengajarnya perubahan tidak semestinya bermula dengan sesuatu yang besar, tetapi melalui keberanian seseorang untuk bertindak.
MISI PERTAHANKAN PERLOMBONGAN DASAR LAUT
Selain perjuangan di daratan, Sharifah Sofia turut membawa suara pemuliharaan alam sekitar ke lautan apabila terlibat dalam misi bersama Greenpeace Malaysia untuk menyuarakan kebimbangan terhadap aktiviti perlombongan dasar laut atau deep sea mining.
Dia pernah menyertai aktiviti di Labuan bagi membantah operasi perlombongan dasar laut yang dikhuatiri memberi kesan terhadap keseimbangan ekosistem marin.
Penglibatan dalam misi tersebut membuka matanya bahawa kerosakan terhadap alam sekitar bukan sahaja memberi ancaman kepada hidupan laut, malah boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem yang akhirnya memberi kesan kepada kehidupan manusia.
“Kalau kita lihat, perjuangan ini bukan hanya tentang menyelamatkan haiwan atau alam semata-mata. Kita tahu setiap perkara dalam ekosistem ini saling berkait.
“Apabila sesuatu spesies pupus, kita mungkin akan melihat kesan lain yang berlaku dan perkara itu mungkin tidak mampu kita kawal,” ujarnya.

Walaupun misi tersebut mempunyai risiko tersendiri, Sharifah Sofia menegaskan aspek keselamatan dan peraturan tetap menjadi keutamaan sepanjang aktiviti berkenaan.
Ujarnya, semua peserta tidak melakukan tindakan secara melampau, sebaliknya hanya membawa papan tanda serta menyuarakan pandangan mereka secara aman.
“Kita bukan memberontak secara melampau. Kita tetap ikut peraturan, mengambil kira aspek keselamatan diri dan undang-undang,” katanya.
Menurutnya, usaha memelihara alam sekitar bukan hanya tanggungjawab segelintir pihak, sebaliknya memerlukan kesedaran bersama daripada masyarakat.
TENANG DI BAWAH LAUT
Minat Sharifah Sofia terhadap pemuliharaan alam sekitar semakin berkembang menerusi kecintaannya terhadap dunia menyelam yang mula diceburinya sejak berusia 17 tahun.
Apa yang bermula sebagai hobi akhirnya menjadi sebahagian daripada kehidupannya apabila diau bukan sahaja aktif menyelam, malah kini memiliki pusat menyelam sendiri yang terletak di Kuala Kubu Bharu serta terlibat dalam pelbagai latihan berkaitan aktiviti air.
Menurutnya, pengalaman berada di bawah laut memberikan ketenangan yang sukar diperoleh dalam kehidupan seharian kerana ia menjadi ruang untuk melepaskan diri daripada kesibukan luar.
“Bila kita masuk bawah laut, kita tidak dengar apa-apa. Kita dengar gelembung udara kita sahaja. Kita seperti dapat lari sekejap daripada dunia yang sibuk,” katanya.
Bagaimanapun, semakin lama meneroka dunia bawah laut, semakin besar kesedarannya terhadap kepentingan menjaga kelestarian ekosistem marin apabila melihat sendiri perubahan serta kerosakan yang berlaku akibat aktiviti manusia.
Selain aktif dalam aktiviti menyelam, Sharifah Sofia turut terlibat dalam usaha pemuliharaan laut termasuk sebagai duta Reef Check Malaysia serta menyertai program pembersihan bawah laut bagi mengurangkan pencemaran marin.

Katanya, masih ramai masyarakat yang kurang memahami kepentingan terumbu karang kerana menganggapnya sekadar objek biasa, sedangkan ia merupakan hidupan yang memainkan peranan penting dalam keseimbangan ekosistem laut.
“Bila kita sebut batu karang, orang ingat benda itu batu sahaja. Tetapi sebenarnya batu karang itu hidup. Bila kita pijak benda itu, batu karang boleh mati,” katanya.
CABARAN LEGASI BOMBA
Selain aktivis alam sekitar, Sharifah Sofia turut berani mencuba perkara yang menguji kekuatan fizikal dan mental menerusi penyertaan dalam cabaran 24 jam Legasi Bomba.
Penyertaan tersebut berlaku secara tidak dirancang apabila pihak produksi menghubunginya untuk menyertai cabaran berkenaan.
Sebagai individu yang aktif dalam bidang bantuan kecemasan menerusi penglibatan bersama NGO, dia melihat peluang itu sebagai ruang untuk merasai sendiri cabaran yang sering dihadapi oleh anggota penyelamat ketika menjalankan tugas.
Namun, pengalaman tersebut bukan sesuatu yang mudah apabila dia perlu melalui pelbagai aktiviti mencabar termasuk memasuki terowong berair menggunakan alat pernafasan khas seperti yang digunakan dalam operasi penyelamatan.
Menurutnya, pengalaman berada di dalam air yang gelap dan perlu bergantung kepada peralatan membuatkan dirinya hampir berputus asa.

Walaupun berdepan kesukaran, pengalaman itu mengubah pandangannya terhadap tugas anggota bomba yang sering berhadapan dengan keadaan tidak dijangka ketika menyelamatkan nyawa.
“Bila habis cabaran itu, rasa hormat saya kepada bomba jadi lebih tinggi. Mereka masuk ke tempat yang mereka sendiri tidak tahu apa yang ada di hadapan, tetapi mereka tetap masuk,” katanya.
ANAK-ANAK BELAJAR MELALUI PENGALAMAN
Walaupun aktif dengan pelbagai aktiviti, keluarga tetap menjadi keutamaan buat Sharifah Sofia.
Dia sering membawa dua anak perempuannya bersama dalam pelbagai aktiviti yang disertai termasuk program pembersihan pantai, aktiviti sukarelawan serta latihan berkaitan kesihatan mental dan bantuan kecemasan.
Pendedahan sejak usia muda penting supaya anak-anak bukan sahaja memahami realiti kehidupan, malah membina keyakinan serta kemahiran yang boleh digunakan untuk membantu orang lain pada masa hadapan.

“Mereka belajar banyak benda pada usia yang muda. Mereka tahu CPR, pertolongan cemas dan bagaimana bercakap dengan orang yang memerlukan bantuan,” ujarnya.
Namun, di sebalik pelbagai pencapaian dalam kerjaya dan aktivis, dia mengakui perkara yang paling dibanggakan dalam hidupnya adalah peranan sebagai seorang ibu.
Katanya, menjadi seorang ibu sering membuatkan seseorang mempersoalkan sama ada sudah memberikan yang terbaik atau tidak buat anak-anak.
Menurutnya, perkara paling bernilai yang boleh diberikan kepada anak-anak bukan kemewahan, tetapi didikan, kasih sayang dan masa.
The post Matlamat bukan lagi kejar populariti appeared first on Utusan Malaysia.




