
IPOH – Seorang pengurus felda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu berkaitan bayaran kontrak kerja berjumlah RM26,017.12, enam tahun lalu.
Tertuduh, Hendra Mohamad Nazeri, 45, yang sebelum ini bertugas di Pejabat Felda Gunung Besout 4 membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa secara tidak jujur telah menggunakan dokumen sebagai tulen iaitu enam resit pesanan penghantaran daripada Syarikat Minitech Bidor Quarry Sdn. Bhd.
Dokumen tersebut digunakan sebagai sokongan pembekalan untuk projek menyediakan buruh, jentera dan peralatan bagi menjalankan kerja-kerja membekal dan menghantar batu ‘crusher run’ sebanyak 100 tan di Lot Felda Blok 1, 3 dan 5, Felda Gunung Besout 4 masing-masing bernilai RM5,000.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Maybank Jalan Ahmad Boestamam, Slim River pada 23 Disember 2019.
Tertuduh juga didakwa bagi enam pertuduhan lain apabila mengarahkan Penyelia Rancangan Tanah Gred19 Felda Gunung Besout 4 berusia 37 tahun untuk menyediakan dokumen sebagai tulen iaitu Sijil Bayaran kontrak Kerja.
Dokumen itu bagi tujuan menyediakan buruh, peralatan kenderaan dan alat jentera untuk kerja-kerja membasmi ulat pemakan daun seluas 12.04 hektar dan membaiki jalan pertanian sepanjang 1,000 meter di Felda Gunung Besout 4 bernilai RM1,149.12 dan RM2,200.
Selain itu, dokumen itu juga digunakan bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan rumah petugas dan Pejabat Felda Gunung Besout 4 selain membaiki saliran dan paip sepanjang 500 meter serta membekal papan tanda kawasan rumah kakitangan membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM12,668.
Kesemua enam pertuduhan itu dilakukan tertuduh di Pejabat Felda Gunung Besout 4, Sungkai antara Julai 2020 hingga Mac 2021. – KOSMO! ONLINE
The post Pengurus Felda mengaku tak salah kemuka dokumen palsu appeared first on Kosmo Digital.