
KUALA TERENGGANU – Gara-gara terlalu takut dituduh terlibat dalam jenayah, seorang pelajar sebuah universiti awam tergamak mengeluarkan wang simpanan ibubapanya dan menyerahkan barangan kemas ibunya kepada sindiket penipuan sehingga kerugian RM187,800.
Wanita berusia 26 tahun tersebut yang menyedari tertipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 9.43 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, pelajar tersebut dihubungi suspek yang menyamar kononnya wakil sebuah syarikat pengendali e-dompet pada 4 Ogos lalu.
“Suspek mendakwa kononnya mangsa telah menyalahguna akaun e-dompetnya sebelum panggilan kemudiannya disambungkan kepada orang lain menyamar pegawai polis dan individu bergelar Datuk.
“Mangsa didakwa kononnya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan dadah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, pelajar wanita berkenaan telah diarahkan untuk melakukan pindahan wang kepada suspek kononnya bagi tujuan siasatan.
Beliau berkata, wanita tersebut yang ketakutan telah mengambil kad mesin pengeluaran automatik (ATM) ibubapanya untuk mengeluarkan wang bagi diserahkan kepada suspek.
“Mangsa juga menyerahkan tiga utas gelang tangan, lima bentuk cincin dan satu loket kepada seorang lelaki di Jalan Pantai Penarik. Setiu pada Sabtu lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Wang, barangan kemas ibu bapa RM187,800 lesap appeared first on Kosmo Digital.