
KOTA BHARU – Kos kenaikan gaji penjawat awam berkemungkinan naik sehingga RM18 bilion pada tahun depan selepas kerajaan mengambil kira peningkatan pelbagai kos sara hidup.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan itu dilakukan apabila terdapat peningkatan kos sara hidup melibatkan pendidikan dan kesihatan.
Menurutnya, kerajaan sebelum ini sudah mengumumkan peningkatan kos gaji penjawat awam sebanyak RM10 bilion iaitu yang tertinggi dalam sejarah negara sejak 12 tahun lalu.
“Peningkatan kos itu sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap nasib dan kedudukan untuk berlaku adil kepada kakitangan sektor awam
“Siling dan lantai ekonomi rakyat perlu naik melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). Justeru, kerajaan turut menyeru syarikat swasta untuk menetapkan gaji minimum sebanyak RM1,700 manakala bagi syarikat di bawah kerajaan pula sebanyak RM3,100,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Madani Rakyat 2025 Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.
Anwar memberitahu, syarikat di bawah kerajaan sudah diminta untuk memastikan pelaksanaan kenaikan gaji selain tidak perlu untuk berbangga dengan keuntungan yang diperoleh.
Dalam perkembangan sama, menurutnya, golongan petani, nelayan dan pesawah turut menerima pelbagai manfaat kerajaan serta kenaikan insentif yang diumumkan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, kerajaan mengumumkan pelarasan gaji 15 peratus kepada Kumpulan Pelaksana serta Pengurusan dan Profesional, manakala 7 peratus bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi.
Anwar berkata, pelaksanaan pemberian tersebut dibuat secara bertahap dan berfasa iaitu fasa satu pada 1 Disember ini, manakala fasa dua pada 1 Januari 2026.
“Pelaksanaan Kumpulan Pelaksana serta Pengurusan dan Profesional untuk fasa satu adalah 8 peratus dan fasa dua pula 7 peratus.
“Bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi, fasa satu adalah 4 peratus, manakala fasa dua adalah 3 peratus,” katanya.
Justeru, julat peningkatan pendapatan yang akan diterima oleh penjawat awam adalah di antara 16.8 peratus hingga 42.7 peratus, mengambil kira faedah berganda (compounding effect). – KOSMO! ONLINE
The post Kos gaji penjawat awam mungkin naik RM18 bilion tahun depan appeared first on Kosmo Digital.