Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Persatuan Muaythai Negeri Selangor (PMNS) memasang hasrat untuk menganjurkan Selangor ASEAN Muaythai League tahun depan selepas kejayaan penganjuran Selangor Muaythai League (SML) 2026.
Presiden PMNS, Muhammad Amir Luqman berkata, kejohanan bertaraf antarabangsa itu mungkin melibatkan petarung-petarung dari rantau Asia Tenggara termasuk Thailand, Vietnam, Indonesia dan Filipina.
Jelas beliau, bagi memastikan hasrat itu menjadi kenyataan, pihaknya mengharapkan sokongan daripada Kerajaan Negeri Selangor kerana kejohanan bertaraf antarabangsa memerlukan tempat dan fasiliti lebih besar.
“PMNS turut merancang penganjuran Selangor ASEAN Muaythai League pada Jun 2027 sebagai platform untuk memberikan pendedahan antarabangsa kepada atlet-atlet tempatan dan membangunkan Selangor sebagai pusat muay thai serantau.
“Persatuan berhasrat mengundang penyertaan dari Thailand, Indonesia, Filipina, Vietnam, Brunei dan Singapura selain mengalu-alukan sokongan Kerajaan Negeri Selangor dan rakan strategik bagi menjayakannya,” katanya pada sidang akhbar SML di sini, hari ini.
Tambah beliau, penganjuran SML yang sudah menampilkan empat siri bagi saingan musim ini semakin hampir ke kemuncak apabila SML Vol. 5.0 The Finale bakal berlangsung di Dewan Sri Siantan, Selayang pada 31 Oktober dan 1 November depan.
Amir menjelaskan, saingan The Finale itu bakal menghimpunkan 400 peserta amatur dan profesional dengan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM35,000 melibatkan pertarungan profesional.
Lebih menarik, para peminat boleh masuk menyaksikan pertarungan amatur secara percuma selain hanya RM20 dikenakan bagi pertarungan melibatkan petarung-petarung bertaraf profesional.
Bagi peminat-peminat yang berminat untuk menyaksikan pertarungan tersebut, anda boleh mendapatkan tiket aksi profesional melalui gim kelab gabungan ataupun menghubungi PMNS menerusi media sosial. – KOSMO! ONLINE
The post PMNS idam anjur kejohanan rantau ASEAN appeared first on Kosmo Online.
