
LUMUT – Penanaman sayur menerusi kaedah hidroponik oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Teluk Kecil di Pulau Pangkor, di sini kini menjadi salah satu daripada daya penarik pelancong di pusat peranginan berkenaan.
Pengerusi JPKK Teluk Kecil, Mazwin Teh Abdul Rahman, 42 berkata, mereka tidak menyangka projek penanaman sayur menerusi kaedah itu menerusi bimbingan Jabatan Pertanian negeri berjaya menarik minat pengunjung.
Menurutnya, sayur-sayuran yang ditanam di pekarangan Masjid Teluk Kecil itu termasuklah bayam merah, bayam hijau, bayam Brazil, daun pudina, daun kesum, kangkung, kailan, sawi dan lain-lain.
“Siapa sangka sayur-sayuran yang ditanam dengan kaedah hidroponik ini mampu menjadi tarikan sehingga ada dalam kalangan pelancong yang berhenti singgah di pekarangan masjid ini untuk bergambar kenangan.
“Ini bermakna, apa yang penduduk kampung usahakan menjadi satu daripada produk pelancongan di Pulau Pangkor dan ia berpotensi untuk dikembangkan lagi dengan bantuan daripada pihak berwajib,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Mazwin berkata, selain sayur-sayuran hidroponik, pihaknya turut mengusahakan cendawan di lokasi sama hasil kerjasama strategik bersama Kementerian Pendidikan Tinggi dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), di bawah Projek Outreach JPT@Pangkor.
Katanya, sehingga hari ini, terdapat 1,000 bongkah cendawan yang diusahakan mereka menerusi sistem iMistroom, iaitu rumah cendawan pintar modular.
“Kesemua sayur-sayuran dan cendawan yang diusahakan ini mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai terutamanya penduduk kampung dan komuniti peniaga setempat. Kami beroleh hasil tanaman kira-kira RM1,000 setiap bulan.
“Selain itu, kami juga menjual sayur-sayuran seperti cili, saderi dan kunyit dan kepada orang ramai pada harga RM10 setiap pasu,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Unit Pengurusan Pulau Bebas Cukai (UPPBC) Pangkor, Majlis Perbandaran Manjung, Anas Malek Ishak berkata, inisiatif penanaman sayur tersebut selari dengan agenda Sekuriti Makanan Negeri Perak di bawah pelan Perak Sejahtera 2030.
“Pelan cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad itu menekankan kelestarian sumber makanan dan penglibatan aktif komuniti dalam memastikan bekalan makanan masa depan terus terjamin,” katanya.
Tambah beliau, kebun itu turut menerima sokongan teknikal dan latihan daripada Jabatan Pertanian yang secara aktif turun padang ke Pulau Pangkor bagi memberikan kursus pertanian moden kepada masyarakat Kampung Teluk Kecil.
The post Sayur hidroponik jadi tarikan pelancong di Pulau Pangkor appeared first on Kosmo Digital.