Auto Added by WPeMatico

ADA satu ketika dalam kehidupan, tepukan paling gemuruh dan cahaya pentas paling terang tidak lagi menjadi perkara yang mahu dikejar. Sebaliknya, waktu bersama keluarga, ketenangan dan peluang melakukan sesuatu yang lebih dekat dengan jiwa mula mengambil tempat.
Barangkali itulah fasa yang sedang dilalui penyanyi dan komposer, Faizal Tahir. Selepas bertahun-tahun berada dalam industri muzik, melalui zaman ketika namanya begitu hangat di pasaran sehingga jadual kerja dipenuhi persembahan dan acara anugerah, Faizal kini tidak lagi melihat kerjaya daripada sudut yang sama.
Malah, perkataan ‘bersara’ sudah beberapa kali bermain dalam fikirannya. Bukan kerana mahu mencipta sensasi. Jauh sekali mahu mengumumkan perpisahan dramatik dengan dunia seni. Bagi Faizal, bersara adalah sesuatu yang lumrah bagi setiap individu yang bekerja.
Cuma dalam konteks dirinya, keputusan itu mempunyai pengertian lebih khusus, iaitu meninggalkan dunia nyanyian, bukan muzik secara keseluruhannya.
“Rasanya bukan satu benda yang boleh dibuat main-main kalau hendak berhenti atau bersara. Saya juga tidak rasa benda itu sepatutnya mengejutkan sebab semua orang yang bekerja, satu hari nanti akan bersara.
“Cuma saya rasa faktor yang mendorong saya untuk terus bertahan beberapa tahun ini ialah orang sekeliling, khususnya pihak pengurusan, rakan kongsi perniagaan saya, Mike Chan daripada Faithful Music dan sudah tentu peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan.
“Kadang-kadang saya rasa macam sudah tidak ada apa-apa lagi yang boleh saya beri. Tetapi apabila perasaan itu datang, akan ada sahaja orang yang meminta atau memberikan sesuatu kepada saya sehingga saya rasa macam masih perlu berada dalam industri,” katanya.

Mengimbas sekitar lapan hingga 10 tahun pertama perjalanan seninya, Faizal mengakui sebahagian besar masa dan tenaganya ketika itu dicurahkan kepada kerjaya.
Itulah tempoh ketika namanya sedang berada di puncak perhatian. Kesibukan menjadi sebahagian daripada kehidupan dan tuntutan kerjaya pula datang silih berganti.
Namun, semakin usia bertambah, semakin jelas kepadanya bahawa ada masa yang sudah berlalu dan tidak mungkin dapat dikembalikan.
“Keluarga adalah perkara nombor satu yang saya fikirkan. Keluarga saya besar dan mungkin dalam lapan hingga 10 tahun permulaan kerjaya Faizal Tahir, saya memang terlalu banyak memberikan fokus kepada kerja.
“Saya terlibat dengan acara anugerah dan memang sangat sibuk. Orang kata waktu itu tengah hangat di pasaran. Jadi, sekarang saya rasa waktu yang sudah berlalu itu saya tidak boleh kembalikan dan saya mahu cuba menggantikannya. Anak-anak pun semakin membesar.
“Saya juga rasa masih boleh menyumbang dengan cara lain. Jadi, apabila saya cakap tentang bersara, maksudnya bersara daripada menyanyi sahaja. Saya rasa saya masih boleh menulis dan menghasilkan lagu kerana sebenarnya minat dan semangat saya lebih kepada bahagian itu,” katanya.

Penat mengejar industri?
Selepas sekian lama menjadi sebahagian daripada industri hiburan, timbul persoalan sama ada keinginan tersebut turut berpunca daripada kepenatan menghadapi perubahan dan kerenah dunia seni. Faizal tidak menafikan ia mungkin menjadi salah satu faktor.
Apatah lagi industri yang dikenalinya dahulu sudah berubah dengan begitu pantas. Era kaset dan cakera padat sudah lama ditinggalkan. Hari ini, muzik berada di hujung jari dan pendengar memiliki terlalu banyak pilihan.
Kehadiran teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) pula membuka satu lagi babak baharu.
“Boleh jadi itu salah satu faktornya. Orang dalam industri pun tahu bagaimana perubahan era dan zaman berlaku. Sekarang semuanya digital, jadi semua orang mempunyai peluang untuk menonjolkan diri.
“Kalau kita hendak terus merisaukan teknologi, kita tidak akan menang sebab teknologi akan sentiasa bergerak ke hadapan. Pada saya, kita yang perlu pandai menyesuaikan diri. Kalau kita tidak boleh mengikut sesuatu perubahan itu, kita perlu mencari perkara lain yang boleh dilakukan,” katanya.
Bagi Faizal, melawan teknologi bukan jawapan. Sebaliknya, manusia perlu belajar hidup bersama perubahan.
“Perubahan memang tidak mudah, lebih-lebih lagi apabila kita sudah selesa dengan sesuatu. Tiba-tiba keluar teknologi baharu dan kita kena sesuaikan diri semula.Tetapi pada saya, salah satu kunci kejayaan seseorang manusia adalah apabila dia berjaya menyesuaikan diri dengan perubahan. Kalau kita tengok, orang atau perniagaan yang boleh mengadaptasikan diri dengan perubahan biasanya akan berjaya.
“Sebab itu, saya melihat perkara sama berlaku dalam industri muzik. Dulu daripada kaset, kemudian cakera padat, USB dan sekarang semuanya terus dalam telefon. Orang mempunyai terlalu banyak pilihan. Kalau sebuah lagu dimainkan seminit dan mereka sudah bosan, mereka boleh terus tukar kepada lagu lain,” katanya.
Menariknya, segala perubahan tersebut tidak pula membuatkan Faizal berasa terancam sebagai seorang pengkarya.
Baginya, kebimbangan terhadap teknologi baharu bukan sesuatu yang asing. Fenomena serupa pernah berlaku ketika kemunculan platform media sosial. Apa yang lebih mustahak, katanya, adalah cara teknologi digunakan.
“Untuk saya, ia tidak mengganggu langsung. Saya rasa benda ini sama seperti ketika Facebook mula-mula muncul. Saya ingat ibu bapa ketika itu risau dan kata Facebook tidak bagus. Tetapi apabila orang sudah tahu bagaimana hendak menggunakannya, ia boleh menjana pendapatan dan digunakan untuk perkara yang baik.
“Kemudian muncul Twitter, Instagram, YouTube dan WhatsApp. Setiap kali keluar sesuatu yang baharu, orang mesti mempunyai persepsi negatif kerana ada rasa takut dan tidak selamat terhadap perkara yang mereka belum faham.
“Sebab itu, apabila orang mula bercakap tentang AI beberapa tahun lalu, kita sebenarnya sudah perlu mula mengambil tahu. Dalam apa juga teknologi, ia boleh digunakan untuk perkara tidak baik dan boleh juga dimanfaatkan untuk perkara baik. Bagi saya, perkara paling penting adalah etika penggunaannya,” katanya.
Bagaimanapun, sebagai seorang bapa, ada perkara lain yang lebih membimbangkan Faizal daripada sekadar kemampuan AI menghasilkan muzik atau kandungan.
Dia melihat generasi muda hari ini terlalu mudah terdedah kepada kandungan luar sehingga bahasa, nilai dan budaya sendiri berisiko semakin terpinggir.
“Saya sebagai seorang ayah memang risau. Anak-anak sekarang hendak bercakap bahasa Melayu pun semakin susah sebab di YouTube kebanyakannya dalam bahasa Inggeris. Kandungan yang mempunyai nilai Nusantara dan Asia pula saya rasa tidak mencukupi.
“Kita dahulu terkenal dengan sopan santun. Saya rasa sekarang sudah sampai satu tahap kita perlu mengembalikan nilai Asia dan budaya Nusantara kita. Kita sudah terlalu banyak menyerap budaya Barat, jadi pada saya bukan sekadar hendak menapis kandungan yang sudah ada, tetapi kita sendiri kena menyediakan lebih banyak kandungan.
“Semua pihak dalam media dan multimedia perlu duduk semeja dan berbincang bagaimana hendak menaikkan semula nilai budaya kita sendiri. Kita perlu menghasilkan lebih banyak kandungan yang berpaksikan nilai Asia,” katanya.

Pilih siapa berada di sisi
Lebih daripada harta atau pencapaian, satu lagi pelajaran besar yang diperoleh Faizal adalah kepentingan memilih lingkungan manusia yang tepat sepanjang hidup.
Baginya, orang yang berada di sisi seseorang boleh menentukan arah kehidupan, malah mempengaruhi bagaimana seseorang menghadapi kesilapan, tekanan dan konflik.
“Semua orang akan melakukan kesilapan tetapi dalam keadaan begitu, perkara paling penting adalah siapa orang yang berada di sekeliling kita. Orang sekeliling kita boleh menentukan ke mana hala tuju kita.
“Kalau kita dikelilingi orang baik, tidak toksik dan mereka memberikan semangat kepada perkara yang positif, itulah orang yang kita perlukan. Kalau setiap kali ada masalah, dia pula mengapi-apikan sehingga kita semakin marah atau semakin hilang semangat, saya rasa orang seperti itu tidak perlu berada di sekeliling kita.
“Kita akan rasa hidup lebih aman. Berkonflik dengan diri sendiri pun sebenarnya memakan tenaga. Sebab itu, kalau orang tanya saya merajuk atau tidak dengan industri, saya kata saya tidak ada tenaga hendak merajuk. Buat apa habiskan tenaga sedangkan banyak lagi perkara lain yang saya boleh lakukan?
“Kalau kita mencari benda yang baik, insya-Allah kita akan bertemu orang baik yang mengelilingi kita dan menjadikan kehidupan terasa lebih aman,” katanya.
Dalam pada itu, Faizal juga bakal mengadakan konsert berjudul ‘Faizal Tahir: Suara Rakyat’ di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 3 Oktober ini.
The post Perkataan bersara bukan boleh dibuat main-main – Faizal Tahir appeared first on Utusan Malaysia.



