Auto Added by WPeMatico

![]()
KEGHAIRAHAN mengejar kehidupan mewah dalam kalangan anak muda semakin ketara apabila media sosial menjadi ruang untuk mempamerkan segala-galanya.
Apa yang membimbangkan, kemewahan yang dipaparkan berulang kali boleh mewujudkan persepsi bahawa kejayaan hidup perlu diterjemahkan melalui apa yang dimiliki dan mampu ditunjukkan kepada umum.
Oleh itu ada yang mungkin terdorong untuk mengejar gaya hidup di luar kemampuan sebenar hanya kerana tidak mahu dilihat ketinggalan.
Lebih membimbangkan apabila keinginan tersebut diterjemahkan melalui komitmen kewangan seperti penggunaan kad kredit, pinjaman atau hutang peribadi.
Budaya berkenaan akhirnya boleh mencetuskan satu kitaran apabila semakin banyak wang diperlukan untuk mengekalkan imej kehidupan yang dianggap mewah, sedangkan pendapatan masih berada pada tahap yang sama.
Media sosial pula menjadikan perkara itu lebih rumit apabila pengguna hanya melihat sisi kehidupan yang ingin dipamerkan oleh seseorang, tanpa mengetahui keadaan kewangan, komitmen dan masalah sebenar di sebalik imej tersebut.
Akibatnya, kehidupan sendiri mudah dianggap tidak cukup baik apabila dibandingkan dengan paparan individu lain yang kelihatan lebih berjaya, lebih kaya atau lebih bahagia.
Perbandingan secara berterusan itu boleh menyebabkan seseorang berusaha mendapatkan sesuatu bukan kerana benar-benar memerlukannya.
Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani, menyokong pandangan tersebut dengan menyifatkan kecenderungan membeli untuk membuktikan sesuatu kepada orang lain sebagai antara punca seseorang boleh terperangkap dalam gaya hidup di luar kemampuan.
“Anak muda berhak menikmati kehidupan, melancong, membeli kereta yang baik dan berpakaian cantik. Masalah bermula apabila seseorang membeli untuk membuktikan sesuatu kepada orang lain, sedangkan dirinya sendiri belum mampu,” katanya.
Menurutnya, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila seseorang sanggup berhutang untuk mengekalkan imej kehidupan mewah.
Beliau turut melihat pengaruh perbandingan sosial sebagai antara faktor yang mendorong seseorang mengejar apa yang dimiliki orang lain walaupun perkara berkenaan tidak diperlukan.
“Apabila setiap hari kita melihat orang melancong, membeli kereta baharu, memakai barangan berjenama dan menikmati kehidupan mewah, kita mungkin mula merasakan kehidupan sendiri tidak cukup baik.
“Dari situ timbul keinginan untuk mengejar apa yang dimiliki orang lain walaupun tidak perlu,” jelasnya.
Situasi itu menunjukkan bahawa masalah sebenar bukan terletak pada keinginan anak muda untuk menikmati kehidupan atau memiliki barangan yang lebih baik, sebaliknya apabila keinginan berkenaan mula mengatasi kemampuan kewangan dan menjadi keperluan untuk mendapatkan pengiktirafan.
Jika tidak dikawal, tekanan untuk mengekalkan imej tersebut bukan sahaja boleh membebankan kewangan, malah berpotensi menjejaskan ketenangan fikiran apabila individu terpaksa memikirkan komitmen kewangan yang semakin bertambah.
Justeru, gaya hidup sepatutnya dibentuk berdasarkan kemampuan sebenar dan keperluan, bukannya berdasarkan kehidupan orang lain yang hanya dilihat melalui skrin.
Kemewahan tidak menjadi masalah jika mampu ditanggung, tetapi apabila imej lebih penting daripada kemampuan, gaya hidup yang mahu kelihatan sempurna itu akhirnya boleh menjadi beban yang memakan diri.
The post Gaya mewah tapi hutang keliling pinggang appeared first on Kosmo Digital.
