Auto Added by WPeMatico

DIPUJI kekal segak dan kelihatan awet muda, pelakon Rashdan Baba mengakui rahsia penampilannya adalah berpunca daripada genetik keluarga serta amalan gaya hidup sihat.
Rashdan, 56, mendedahkan dia sangat menitikberatkan pengambilan air masak secara harian bagi membantu menjaga kelembapan kulit.
“Sebenarnya benda itu kira bonuslah sebab arwah bapa dulu pun kalau saya jalan dengan dia orang kata abang adik. Mungkin dari genetik.
Kalau kita tengok dari segi sudut kesihatan pun, bila umur 40 tahun ke atas, kita dah kena mula ambil suplemen dan minum air yang cukup.
“Kalau air tak cukup, itu yang kita cepat kedut. Badan kita ini 80 peratus air, bila kita minum air yang cukup, insya-Allah kulit kita akan lembaplah,” katanya ketika sidang media pengumuman Kilauan Emas Selebriti 2026, kelmarin.
Mengulas lanjut, pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu mengamalkan pesanan arwah bapanya untuk minum air suam.
“Ajaran daripada arwah bapa saya sebelum tidur minum air suam segelas. Bangun tidur pun buat perkara sama sebelum berus gigi atau ketika air liur basi masih melekat lagi.
“Itu amalan saya daripada dulu. Saya rasa lebih 8 liter saya minum sehari.
Saya banyak minum air suam. Kalau minum teh tarik pun saya akan minta separuh, itu pun kadang-kadang tak habis,” jelasnya.
Pada masa sama, Rashdan turut mengingatkan masyarakat supaya menjaga saiz hidangan makanan dan tidak menurut hawa nafsu ketika makan.
“Sama macam makan, semua sedap macam mana pun bila masuk perut dah jadi racun.
“Bayangkan sampah seminggu tak buang, rasa-rasa apa ada dalam itu? Sama macam perut kita, nabi pun dah pesan, punca segala penyakit daripada perut.
“Jagalah perut anda, makan sebelum lapar berhenti sebelum kenyang,” ujarnya.
Bagaimanapun, Rashdan menolak dakwaan menggunakan sebarang amalan syirik mahupun rawatan estetik untuk kelihatan muda.
“Saya kongsi supaya ramai dapat menjaga kesihatan sebab kesihatan amat mahal. Kalau masuk hospital, beratus ribu habis.
Itulah rahsia, kalau orang tanya dalam komen-komen, pakai susuk ke apa kan, saya tak ada.
“Cucuk-cucuk pun tak ada, setakat ini alhamdulillah masih original (asli). Masih lelaki tulen,” selorohnya.
Masih bebas daripada sebarang penyakit, Rashdan juga mengamalkan senaman ringkas dalam kehidupan harian bagi mengekalkan tahap kecergasannya.
“Saya alhamdulilllah, tak ada tiga serangkai (sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi).
“Setakat ini senaman saya tak sempat buat, hanyalah brisk walk. Maksudnya daripada rumah nak pergi ke kereta.
“Kadang-kadang kalau kita nak naik bangunan setingkat dua itu kita naik tangga,” kongsinya.
Sebelum ini, penampilan Rashdan ketika hadir ke konti radio Sinar FM mencuri tumpuan ramai sehingga menerima pujian kerana kelihatan segak dan awet muda.
Rata-rata netizen kagum serta berpendapat raut wajahnya langsung tidak berubah sejak dari zaman mudanya. – HIBGLAM
