Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA: Keputusan DAP sama ada kekal atau keluar daripada Kabinet selepas 16 Ogos ini dijangka tetap memberi kesan kepada Kerajaan Perpaduan dan Pakatan Harapan (PH).
Jika perwakilan memutuskan untuk kekal dalam kerajaan, DAP bakal berdepan defisit kepercayaan daripada para penyokong mereka terutama kelompok non-partisan.
Seandainya mereka keluar daripada Kabinet, peletakan jawatan lima menteri dan tujuh timbalan menteri pastinya memberi kesan besar terhadap pentadbiran dan perancangan dasar kerajaan.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, tindakan sesebuah parti utama keluar daripada Kabinet akan mewujudkan persepsi bahawa hubungan dalam kerajaan berada dalam keadaan rapuh.
Katanya, keadaan itu berpotensi menimbulkan ketidaktentuan dalam kalangan pelabur, penjawat awam dan rakyat, selain membuka ruang kepada pembangkang membina naratif ‘keretakan dalaman’.
“Oleh sebab itu, cabaran terbesar bukanlah soal jumlah kerusi, sebaliknya kestabilan pentadbiran dan keyakinan politik.
“Kerajaan mungkin masih bertahan daripada segi matematik politik tetapi kehilangan sebuah rakan utama dalam pentadbiran akan menjadikan proses membuat keputusan, penyelarasan dasar dan pengurusan hubungan antara parti-parti kerajaan lebih kompleks menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya.
Kelmarin, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kedudukan DAP dalam kerajaan akan ditentukan oleh perwakilan dalam Persidangan Kebangsaan DAP pada 16 Ogos ini.
Satu usul akan dikemukakan kepada perwakilan bagi menentukan sama ada parti itu akan terus kekal dalam kerajaan atau sebaliknya.
Keputusan tersebut tidak akan dibuat oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), sebaliknya diserahkan kepada kebijaksanaan perwakilan yang layak mengundi.
Susulan kekalahan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, Anthony turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan selepas memegang jawatan itu selama 22 tahun sejak 2004.
Dalam pada itu, Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, DAP perlu kekal dalam kerajaan bagi memastikan agenda dan dasar PH diteruskan sehingga PRU16.
Beliau berkata, DAP juga telah memberi komitmen penuh terhadap dasar PH sejak dari awal penubuhan gabungan itu, selain kekal konsisten dengan pendirian politik berbilang kaum, telus, demokratik dan terbuka dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai asas utama.
Katanya, penyertaan DAP dalam kerajaan juga memberi ruang untuk terus memainkan peranan membawa perubahan dan melaksanakan agenda reformasi yang diperjuangkan bersama.
“DAP komited dengan dasar PH sejak awal lagi. Malah, kalau dalam Pakatan Rakyat (PR) dulu pun sama, kita bawa politik demokratik terbuka dan utamakan rakyat,” katanya.
Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan pula berpandangan, usul itu dibuat kerana parti sedang berdepan situasi politik mencabar selepas melalui beberapa siri pilihan raya yang memberi tekanan.
Beliau berkata, ini termasuklah keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah apabila DAP gagal mempertahankan semua kerusi disandang.
“Kita kalah semua kerusi ketika itu. Itu merupakan titik paling rendah apabila kita gagal mempertahankan satu kerusi di Sabah. Sebab itu kita buat keputusan untuk memberi ruang kepada perwakilan menentukan hala tuju parti.
“Malah, paling penting tidak timbul soal menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga Parlimen Ke-15 dibubarkan. Sebaliknya keputusan itu dibuat kerana DAP kini berdepan situasi politik yang mencabar selepas melalui beberapa siri pilihan raya yang memberi tekanan kepada parti,” katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, keputusan mengenai hala tuju parti sama ada terus kekal dalam kerajaan atau sebaliknya, perlu dilihat dalam konteks kemampuan DAP untuk membawa agenda perubahan serta memenuhi harapan penyokong dan rakyat.
“Persoalannya sama ada DAP mampu menyampaikan atau melaksanakan janji-janji reformasi yang telah bawakan sebelum ini, walaupun kita telah dalam kerajaan sejak beberapa tahun lalu,” katanya. – UTUSAN
The post DAP keluar atau kekal tetap beri kesan kepada kerajaan appeared first on Utusan Malaysia.




