
![]()
PUTRAJAYA: Platform media sosial diberi masa untuk menyelaraskan mekanisme dalaman masing-masing bagi membolehkan proses penurunan kandungan scam dan judi dalam talian yang dikenal pasti dapat dilaksanakan secara automatik.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, platform terbabit sebelum ini menyatakan kesediaan untuk mematuhi peraturan berkaitan keselamatan dalam talian, namun memerlukan sedikit masa bagi menyelaraskan mekanisme dalaman mereka.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada permohonan penurunan kandungan yang perlu dibuat secara berulang oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Banyak daripada kandungan judi dalam talian dan juga scam dalam platform-platform ini adalah ‘repeat’. Ia menggunakan imej yang lebih kurang sama, video yang lebih kurang sama, ayat yang lebih kurang sama. Maka itu sebabnya saya menggunakan perkataan seolah-olah membazir masa MCMC sebab kandungannya hampir sama.
“Kita beri platform-platform ini sedikit masa. Mereka telah menyatakan kesediaan untuk mematuhi, tapi mereka memerlukan sedikit masa untuk penyelarasan mekanisme dalaman untuk menjadikan proses secara automatik untuk menurunkan kandungan yang telah dikenal pasti ini,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan pasca Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, jumlah permohonan penurunan kandungan yang dibuat MCMC kepada platform, khususnya membabitkan kandungan judi dalam talian dan scam, kini melebihi jumlah yang dimohon pada tahun lalu.
Justeru, katanya, keadaan itu menunjukkan masih terdapat ruang untuk platform berkaitan mengambil tindakan lebih serius bagi mengekang penyebaran kandungan berkenaan.
“Ini menunjukkan sekurang-kurangnya aktiviti judi dalam talian dan scam di pihak platform dilihat tidak ada tindakan serius untuk mereka sendiri mengekang. Dan ada implikasi kos kepada pihak MCMC bila mereka memohon jumlah yang begitu banyak.
“Setiap satu kandungan memerlukan lebih kurang 30 minit tugasan daripada petugas MCMC, maka jumlah masa yang diperlukan untuk memohon jumlah yang begitu banyak sudah pasti mengakibatkan petugas MCMC membazir banyak masa untuk memfailkan semua dokumen-dokumen yang diperlukan. Dan masa itu sepatutnya boleh digunakan untuk kerja-kerja yang sepatutnya non-repetitive,” katanya.
Tambahnya lagi, MCMC sebelum ini telah menerbitkan Child Protection Code (CPC) dan Risk Mitigation Code (RMC) di bawah kerangka keselamatan dalam talian bagi memastikan platform mematuhi peraturan berkaitan keselamatan dalam talian, termasuk kandungan scam dan judi dalam talian.
Dalam perkembangan berasingan, Fahmi berkata, Kementerian Sumber Manusia diminta menyegerakan proses 15,000 permohonan pekerja asing bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor-sektor berkaitan.
“Jemaah Menteri juga telah mengambil maklum mengenai isu permohonan bagi pekerja-pekerja asing yang mana Perdana Menteri telah memohon supaya pihak Kesuma segera menguruskan 15,000 permohonan warga pekerja asing yang pertama. Ini bagi memenuhi keperluan tenaga kerja sektor-sektor yang terlibat dan secara langsung menyokong aktiviti ekonomi dalam negara kita,” katanya. – UTUSAN
The post Platform media sosial diberi masa selaras mekanisme turunkan kandungan scam, judi appeared first on Utusan Malaysia.
