Auto Added by WPeMatico
Perhilitan sedang jejak gajah dilanggar di LPT 2

![]()
KEMAMAN – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu sedang giat untuk mengesan sekumpulan gajah liar yang terlibat dalam kemalangan melibatkan suami isteri di Kilometer (KM) 274.6, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Cheneh, di sini, malam tadi.
Pengarah Perhilitan negeri, Dennis Ten Choon Yung berkata, enam kakitangan agensinya telah bergegas untuk melakukan kawalan dan pemantauan di lokasi kejadian sebaik menerima maklumat pada pukul 12.30 tengah malam tadi.
“Usaha pengesanan kumpulan gajah yang dilanggar itu dilakukan menggunakan dron.
“Kita akan ambil langkah sewajarnya sekiranya haiwan liar terbabit masih berada berhampiran LPT 2 demi keselamatan pengguna,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Terdahulu, sepasang suami isteri cedera ringan selepas kenderaan pelbagai guna Toyota Estima dinaiki mereka gagal mengelak lalu merempuh sekumpulan gajah liar yang berada di tengah lebuh raya pada pukul 10.20 malam semalam.
Choon Yung berkata, siasatan awal, kumpulan gajah itu dipercayai berasal dari Hutan Simpan Bukit Bandi di sini yang terletak kira-kira lapan kilometer dari lokasi kemalangan.
Dalam perkembangan sama, beliau menasihat pengguna jalan raya agar berhati-hati dan tidak panik sekiranya terserempak dengan gajah liar.
“Jangan hampiri, baling objek, bunyikan hon atau menyalakan lampu tinggi kerana dibimbangi akan membuatkan haiwan liar itu rasa terancam lalu bertindak agresif,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Perhilitan sedang jejak gajah dilanggar di LPT 2 appeared first on Kosmo Digital.
