Auto Added by WPeMatico

SEBERANG PERAI – Kerajaan Pusat mengarahkan beberapa agensi teknikal dan pasukan tindak balas bertindak segera bagi melaksanakan kerja-kerja membaik pulih selain menyelamatkan mangsa yang terjejas akibat banjir dan kejadian tanah runtuh di beberapa daerah di Sabah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara lokasi paling terkesan adalah Sungai Kaiduan, Papar apabila jambatan utama di kawasan itu runtuh menyebabkan penduduk terputus hubungan.
”Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada tahun lalu telah membekalkan tiga unit stok jambatan keluli bermodular (Bailey Bridge) kepada kerajaan negeri Sabah sebagai persediaan menghadapi situasi kecemasan.
”Bagi mengelakkan gangguan perhubungan berlarutan, saya telah mengarahkan pemasangan segera jambatan Bailey di lokasi tersebut dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Pelabuhan Pulau Pinang di sini, hari ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan, seramai 2,468 mangsa banjir daripada 656 keluarga berada di 19 pusat pemindahan sementara (PPS) dan satu pusat pemindahan kekal (PPK) di Beaufort setakat pukul 8 pagi hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, selain di Papar, JKR Sabah turut menumpukan kerja baik pulih di Jalan Penampang – Tambunan yang terjejas akibat tanah runtuh dengan kerjasama syarikat konsesi.
Beliau berkata, antara usaha segera termasuk pembaikan jalan raya runtuh dan penyediaan laluan alternatif sementara bagi mengelakkan gangguan berpanjangan terhadap pengguna. -KOSMO! ONLINE
The post Banjir Sabah: Pemasangan jambatan ‘Bailey’, pembaikan jalan disegerakan appeared first on Kosmo Digital.