Auto Added by WPeMatico

![]()
JASIN – Sebuah pasar raya yang sering menjadi tumpuan penduduk setempat di Jalan Debunga, Merlimau di sini, musnah kira-kira 60 peratus dalam kebakaran lewat malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, premis berkenaan yang sering dikunjungi orang ramai dilaporkan terbakar sebelum pasukan bomba berjaya mengawal api.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.04 malam.
“Seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau dengan bantuan BBP Jasin Bestari dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati benar berlaku kebakaran melibatkan sebuah pasar raya dengan anggaran kemusnahan kira-kira 60 peratus,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman menggunakan dua aliran hos sepanjang kira-kira 61 meter dengan sumber air daripada tangki jentera.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini dan kebakaran berjaya dikawal pada pukul 12.44 tengah malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira pukul 2.46 pagi. Pemeriksaan lanjut turut mendapati tiada lagi punca kemerbahayaan di lokasi sebelum pasukan beredar,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Pasar raya tumpuan di Merlimau terbakar 60 peratus appeared first on Kosmo Digital.
