Auto Added by WPeMatico

ALAH satu kawasan sangkar ternakan ikan yang selalu saya kunjungi adalah di Kuala Gula, Perak. Kemudahan bot sewa yang banyak dengan harga berpatutan, inap desa bersesuaian dengan restoran terletak berdekatan telah melancarkan perjalanan trip kami ke sana.
Kali ini, kami menempah dua buah bot fiber sepanjang 25×7 kaki yang menggunakan enjin sangkut berkekuatan 75 kuasa kuda untuk memancing di sekitar kawasan sangkar ikan.
Bot yang pertama bertekongkan Ayub dengan empat orang peserta, manakala bot kedua dikemudi oleh Mat Wan bersama empat orang pemancing.
Kami bergerak dari jeti dari awal pagi iaitu selepas solat subuh dan sarapan. Perjalanan ke sangkar ternakan ikan pertama mengambil masa sekitar 40 minit. Ia sedikit lewat kerana kami ditemani dengan sedikit alun ditambah pula dengan hujan renyai-renyai.
Keadaan yang sedikit kucah
dan sejuk itu tidak mematahkan semangat kami kerana sebaik sampai ke lokasi, suasana laut menjadi lenang.
Masing-masing, bersemangat memulakan sesi pancingan dasar.
Lebih-lebih lagi dengan menggunakan dua bot, semua seolah-olah hendak berlawan, bot mana yang bakal pulang dengan hasil tangkapan terbaik dan terbanyak.
Selepas bot di parkir bersebelahan antara satu sama lain di tepi sangkar, semua bergegas menurunkan umpan. Pilihan umpan pula pelbagai dengan udang, belanak dan sotong kurita hidup.
Pada trip ini, kami memilih umpan hidup kerana mahu lihat hasilnya berbanding umpan pelaling potong yang dilazimnya digunakan di kawasan ini.
Ikan menjadi target menggunakan umpan potong tadi, selalunya adalah ikan yang terlepas akibat sangkar pecah. Ikan-ikan itu biasanya adalah siakap putih, siakap merah, jenahak dan merah.
Jika kami menggunakan umpan hidup, spesies ikan yang boleh dapat adalah spesies liar berlegar di sekitar sangkar.

Benar seperti telahan, mangsa pertama yang tertewas adalah
ikan senangin saiz lebih kurang dua kilogram oleh Ijam yang menggunakan umpan belanak hidup.
Kejayaannya diikuti pula oleh Lan dengan ikan yang sama, tetapi menggunakan umpan udang
hidup.
Ikan lain yang kami dapat ketika sesi awal di hari pertama adalah siakap putih oleh Shah menggunakan kaedah pancingan berpelampung berumpankan udang hidup.
Tidak ketinggalan, Fatah yang mendapat ikan jenahak
menggunakan umpan udang hidup.
Nampaknya pada hari pertama, peratusan ikan memakan umpan adalah dengan nisbah lebih kurang dalam satu jam seekor ikan seorang dapat.
Seolah-olah, ikan-ikan ini datang secara berkumpulan, kemudian menghilangkan diri sekejap dan datang balik ke kawasan labuhan umpan kami selepas beberapa ketika.
Ini dapat dilihat apabila seorang dapat ikan, yang lain turut mendapat ikan.
Jika ‘sunyi’, semua termenung langsung tiada strike. Menjelang pukul 6.30 petang, Epol mendapat dua ekor ikan senangin lagi sebagai penutup trip pada hari pertama.
Kawasan ambai
Di hari kedua, tekong menyarankan supaya mencuba kawasan ambai terlebih dahulu sebelum ke kawasan sangkar.
Ambai merupakan kawasan bertiang-tiang kayu nibong yang kelihatan tercacak berbaris di permukaan laut.
Ia merupakan struktur yang menjadi kawasan ikan pemangsa berlindung sebelum menyergap makanannya.
Pada pukul 8 pagi, kami meninggalkan jeti menuju ke kawasan ambai. Tekong memberi masa dalam satu jam sahaja untuk kami mencuba. Jika tiada hasil, bot akan berpindah ke kawasan sangkar pula.
Di kawasan ambai, kami menggunakan umpan udang hidup. Sememangnya, dasar yang bercampur lumpur dan pasir ini merupakan habitat ikan sembilang.
Kami bergasak sembilang, dan cukup seronok dilayan menggunakan set pancing ringan.
Pada masa sama, ikan tetanda juga banyak kerana ia berkongsi struktur dengan ikan sembilang.
Masa diperuntukkan selama sejam berlanjutan hingga ke tiga jam kerana sambutan daripada penghuni dasar yang amat memberangsangkan.
Puas bergasak dan kebetulan arus juga sudah bertukar, kami terus berpindah ke sangkar ternakan ikan yang sama semalam.
Rezeki agak menjadi, dapatlah setiap orang menambah lagi hasil tangkapan masing-masing.
Hasil bonus diperolehi Fatah apabila umpannya direntap ganas hingga ikan sempat membelit perambutnya ke tali sauh sangkar.
Setelah ‘dipujuk’ barulah ikan dapat ‘dipam’ naik, rupa-rupanya ia seekor ikan pari bersaiz kasar yang menyerah diri sebagai penutup tirai trip pancingan kali ini.
The post ‘Kemanisan’ memancing di perairan Kuala Gula appeared first on Kosmo Digital.


