Auto Added by WPeMatico

![]()
YAN – Cubaan seorang lelaki melarikan diri selepas dipercayai terlibat dalam kemalangan langgar lari berakhir apabila dia ditahan selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan kedua di Guar Chempedak, di sini semalam.
Suspek berusia 51 tahun itu ditahan beberapa orang awam yang mengejarnya menggunakan lima kenderaan selepas Perodua Viva dipandunya merempuh sebuah lori di persimpangan lampu isyarat kira-kira pukul 12.40 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Mohamad Hamizi Abdullah berkata, pihaknya mengesan satu video tular memaparkan kemalangan membabitkan sebuah Perodua Viva dan sebuah lori.
“Video berdurasi 23 saat itu menunjukkan beberapa orang awam menarik keluar pemandu Perodua Viva sambil menuduh lelaki terbabit cuba melarikan diri selepas melanggar seorang penunggang motosikal di Kampung Titi Batu, Dulang Kecil, Yan.
“Polis kemudian ke lokasi kejadian dan menahan semula suspek selepas dia mengaku memandu di bawah pengaruh dadah,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, ketika ditahan, suspek mengalami kecederaan pada bahagian mulut serta mendakwa kecederaan itu akibat dipukul orang awam yang mengejar dan menahannya.
“Saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. Suspek yang bekerja sebagai pemandu lori itu juga mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki dikejar kes langgar lari rupanya positif dadah appeared first on Kosmo Digital.
