Auto Added by WPeMatico

SEBUAH bot layar autonomi yang bersaiz hanya kira-kira 1.2 meter mencipta sejarah apabila berjaya merentasi Lautan Atlantik sejauh 3,555 batu atau 5,720 kilometer tanpa kru serta kawalan manusia secara langsung atau bantuan luar sepanjang pelayaran selama 127 hari.
Bot robotik dikenali sebagai Oshen C-Star PC13 itu berlepas dari Gran Canaria, Sepanyol pada 7 Mei lalu sebelum tiba di Barbados, Caribbean, 127 hari kemudian.
Kejayaan berkenaan sekali gus menjadikannya bot atau kapal pertama yang berjaya menamatkan Microtransat Challenge iaitu pertandingan yang diwujudkan untuk menguji keupayaan kapal layar autonomi merentasi Atlantik.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama Oshen, Anahita Laverack, pencapaian itu bukan sekadar bergantung kepada ketahanan fizikal bot berkenaan, sebaliknya menguji keupayaan sistem navigasi autonomi bagi membuat keputusan dalam persekitaran laut yang berubah-ubah.
“Sebelum dilepaskan ke laut, laluan PC13 ditetapkan melalui beberapa titik navigasi atau waypoints. Selepas itu, sistem komputer di dalam bot menguruskan perjalanan berdasarkan keadaan angin, arus laut dan tahap kuasa bateri yang tersedia.
“Berbeza dengan bot konvensional yang bergantung kepada enjin sebagai sumber utama pergerakan, PC13 menggunakan layar untuk memanfaatkan tenaga angin,” katanya menerusi satu kenyataan baru-baru ini.
Tambahnya, bot berkenaan turut dilengkapi pendorong berkuasa solar yang boleh digunakan untuk membantu pergerakan ketika angin lemah, namun pendorong tersebut tidak digunakan sepanjang cabaran kerana peraturan Microtransat melarang penggunaannya ketika pelayaran.

Cabaran yang dihadapi PC13 juga bukan kecil. Sepanjang perjalanan, bot itu perlu melalui laluan perkapalan yang sibuk, selain berdepan perubahan cuaca dan ombak yang boleh mencapai kira-kira 30 kaki.
Kongsi Laverack lagi, pelayaran turut dipengaruhi keadaan Ribut Tropika Dolly sekali gus menguji keupayaan struktur dan sistem autonominya untuk terus beroperasi dalam keadaan laut terbuka yang sukar dijangka.
“Kejayaan tersebut merupakan percubaan ketiga kami selepas percubaan pertama pada tahun 2023 hanya bertahan sekitar 20 hari dan bergerak kira-kira 10km sahaja.
“Percubaan kedua pada 2024 pula berjaya mencapai kira-kira tiga per empat perjalanan merentasi Atlantik selepas berada di laut selama 277 hari, sebelum keadaan laut bergelora menyebabkan layar bot rosak,” ujarnya.
Katanya lagi, pengalaman daripada dua kegagalan itu membantu pasukan Oshen menambah baik reka bentuk dan sistem PC13 untuk pelayaran jarak jauh.
Dalam percubaan terbaharu, bot berkenaan turut mengalami masalah kawalan stereng sekitar pertengahan perjalanan yang dipercayai berkaitan geseran berlebihan pada kemudi.
Bagaimanapun, sistemnya berjaya kembali stabil dan meneruskan pelayaran sehingga ke Barbados.
Lebih daripada sekadar mencatat kejayaan dalam pertandingan, teknologi yang digunakan pada PC13 mempunyai potensi lebih luas dalam penyelidikan lautan.
“Kapal autonomi kecil seperti ini boleh berfungsi sebagai platform penderia yang mengumpulkan data persekitaran tanpa memerlukan kru manusia berada di laut untuk tempoh yang panjang.
“Antara data yang boleh dikumpulkan termasuk suhu permukaan laut, suhu udara, tekanan atmosfera, kelembapan, kemasinan dan ketumpatan air,” kongsi Laverack.
Jelasnya lagi, maklumat sedemikian penting untuk memahami perubahan keadaan laut dan atmosfera, khususnya di kawasan yang sukar dipantau menggunakan kapal penyelidikan konvensional.
Laverack turut memberitahu, pihaknya juga melihat potensi penggunaan teknologi itu untuk pemantauan taufan dan kajian iklim.
Pada masa depan, bot autonomi bersaiz kecil boleh digunakan dalam jumlah lebih banyak dan membentuk rangkaian penderia terapung yang mengumpulkan data secara berterusan di kawasan lautan luas.
“Pencapaian PC13 memperlihatkan bagaimana teknologi autonomi, tenaga boleh baharu dan sistem navigasi pintar boleh digabungkan dalam sebuah platform yang sangat kecil.
“Selepas 127 hari di laut, kejayaan merentasi Atlantik itu bukan hanya tentang sebuah bot mini yang sampai ke destinasi tetapi demonstrasi bahawa kapal autonomi berskala kecil semakin berupaya menjalankan misi jangka panjang di lautan terbuka tanpa kehadiran manusia,” tambah Laverack.
The post Bot autonomi mini rentas Atlantik dalam 127 hari appeared first on Kosmo Online.
