Auto Added by WPeMatico

![]()
BATU PAHAT – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini melepas dan membebaskan seorang lelaki yang dituduh memperdagangkan seorang gadis bawah umur ke Laos dan Myanmar, dua tahun lalu.
Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Teo Jia Hing, yang kini berusia 21 tahun selepas mahkamah mendapati terdapat keraguan dan kes pendakwaan berkait dengan intipati ini.
Ketika membaca hukuman diakhir pendakwaan, Osman Affendi berkata, mahkamah mendapati terdapat satu intipati asas yang hendak dibuktikan pihak pendakwaan bahawa tertuduh adalah individu memperdagangkan saksi pendakwaan kelima (SP5) yang juga mangsa.
“Keterangan yang wujud di mahkamah berkenaan identiti tertuduh sebagai pihak merekrut SP5 hanyalah berdasarkan keterangan lisan tanpa apa-apa sokongan yang kredibel.
“Mahkamah mendapati terdapat keraguan dalam kes pendakwaan berkaitan intipati ini di mana lebih daripada satu pandangan berkaitan sama ada tertuduh merupakan individu merekrut yang seterusnya memperdagangkan SP5 atau tidak.
“Mahkamah menjalankan penilaian secara maksimum ke atas keterangan dikemukakan dan berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuat satu kes prima facie terhadap tertuduh,” katanya.
Sehubungan itu, mahkamah tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh ketika itu berusia 18 tahun didakwa memperdagangkan mangsa berusia 17 tahun (ketika kejadian) dari Jalan Seluang, Taman Banang di sini sehingga ke Laos dan Myammar pada pukul 10.30 malam, antara Jun 2022 sehingga Mei 2023.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang memperuntukkan penjara 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Berdasarkan laporan dibuat, mangsa mendakwa mengenali tertuduh melalui media sosial sebelum ditawarkan pekerjaan di luar negara.
Mangsa bersetuju sebelum dibawa ke Laos dan Myanmar dan diminta bekerja sebagai scammer.
Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan Ismail manakala tertuduh diwakili peguam, Tang Song Yan.-KOSMO! ONLINE
The post Lelaki dilepaskan, dibebaskan tuduhan jual gadis ke Laos, Myanmar appeared first on Kosmo Digital.