Auto Added by WPeMatico

SPEKULASI bertebaran akhirnya terjawab apabila penyanyi dan pelakon Amira Othman mengesahkan dirinya kini hamil 30 minggu dan dijangka melahirkan cahaya mata sulung sekitar Jun ini.
Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 33, berkongsi berita gembira tersebut selepas sekian lama memilih untuk berdiam diri daripada mengulas khabar angin.
“Alhamdulillah, saya ingin kongsikan bahawa sekarang saya sedang hamil. Usia kandungan sudah 30 minggu dan perut memang tidak boleh disorok lagi.
“Insya-Allah, saya dijangka melahirkan pada penghujung Jun atau awal Julai.
“Sebelum ini saya tidak berkongsi kerana menunggu masa sesuai dan saya tepati janji, sekarang inilah waktu paling tepat,” katanya kepada HibGlam.
Tambah pelantun lagu Hati-Hati itu, dia berharap segala urusan kehamilan dipermudahkan dan bayi dalam kandungan berada dalam keadaan sihat.
Mohon semua doakan saya dan bayi dalam kandungan sihat serta selamat dilahirkan nanti.
“Soal jantina pula saya belum tahu kerana belum membuat imbasan, tetapi apa pun kami terima dengan penuh syukur asalkan bayi sihat,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran The Next Chapter Rissa Skin X Amira Othman, di sini, hari ini.
Pelakon drama Poskad Cinta Dari Auckland itu juga bersyukur kerana tidak mengalami sebarang alahan sepanjang tempoh kehamilan, sekali gus memudahkan dirinya menjalani rutin harian seperti biasa.
“Alhamdulillah, setakat ini tiada alahan. Selagi ada rezeki, saya akan terus bekerja.
“Saya hanya akan berehat ketika tempoh berpantang nanti,” jelasnya.
Sementara itu, suaminya, pelakon Fattah Amin turut meluahkan rasa syukur apabila bakal menimang cahaya mata pertama.
“Alhamdulillah, semuanya sudah terjawab. Saya sangat bersyukur dengan rezeki ini.
“Saya tidak kisah jantina bayi, asalkan sihat dan segala urusan bersalin dipermudahkan.
“Terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan kami,” tuturnya.
Sebelum ini, khabar kehamilan Amira menjadi bualan ramai apabila penampilannya dikatakan menampakkan ‘baby bump’ ketika menghadiri sebuah majlis hari raya Aidilfitri.
Untuk rekod, Amira dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 14 September 2025 dalam satu majlis tertutup di Sepang, Selangor, yang juga bertepatan dengan ulang tahun kelahiran ke-35 Fattah. – HIBGLAM
