Auto Added by WPeMatico

![]()
SUNGAI PETANI – Abang kepada wanita yang cedera parah disyaki akibat dipukul suami meluahkan rasa syukur apabila suspek akhirnya ditahan dan dibawa ke mahkamah untuk proses reman hari ini.
Menurut lelaki itu yang berusia 45 tahun, dia bersama seorang lagi adik hadir di Kompleks Mahkamah Sungai Petani untuk melihat sendiri suspek.
“Saya hadir hari ini sebab nak tengok suspek, nak tengok betulkah dia. Itu yang penting sebenarnya, saya bukan datang sebab emosi.
“Saya bersabar kerana Allah sudah menentukan semua ini. Saya serah siasatan kes ini kepada pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui di pekarangan luar Kompleks Mahkamah Sungai Petani di sini hari ini.
Katanya, adik perempuannya yang berusia 39 tahun dan mengalami kecederaan parah akibat kejadian itu masih menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.
“Adik memang trauma akibat kejadian itu, namun saya tengok keadaannya ketika ini sedikit baik. Alhamdulillah ramai yang mendoakan adik supaya dia tabah dan lebih bersemangat,” ujarnya.
Sementara itu, peguam pemerhati mewakili keluarga mangsa, Jamaluddin Ali Mohd. Jobran berkata, kecederaan dialami mangsa agak teruk dengan mengalami patah di beberapa bahagian badan termasuk tulang rusuk dan pinggul.
Katanya, beliau dimaklumkan bahawa mangsa sendiri telah membuat laporan polis berhubung kejadian pada Ahad lalu, manakala laporan pertama terlebih dahulu dibuat oleh abang mangsa.
“Saya percaya siasatan ini dapat diteruskan dengan lebih menyeluruh kerana mangsa sendiri ada membuat laporan polis,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, semasa proses reman dibuat tadi, pihak pendakwaan membangkitkan isu kematian janin dalam kandungan mangsa termasuk lokasi pengebumian.
Difahamkan, siasatan lanjut berhubung perkara itu akan dilakukan selepas ini.
Jamaluddin turut meminta orang ramai mendoakan mangsa supaya diberikan kesembuhan dan dapat pulih daripada trauma.
“Berkaitan dakwaan yang berlegar-legar di media sosial itu, saya mohon supaya tidak berlebih-lebihan agar tidak mengganggu siasatan polis,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan seorang lelaki yang disyaki memukul isterinya sehingga keguguran dan cedera parah di Ambangan Heights, di sini Khamis lalu direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Perintah tahanan reman ke atas suspek berusia 43 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Azlan Basri.
Siasatan ke atas suspek dijalankan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah.
The post ‘Saya datang ke mahkamah sebab nak tengok suspek’ appeared first on Kosmo Digital.
