Auto Added by WPeMatico

![]()
ALOR SETAR – Sebanyak 74,000 tiket feri penumpang Langkawi telah terjual bagi pelayaran sepanjang 24 hari cuti penggal persekolahan bermula 19 Disember hingga 11 Januari depan.
Pengurus Operasi Ferry Line Ventures, Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, jumlah itu merangkumi 36,000 keping tiket bagi perjalanan dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi.
“Manakala baki 38,000 tiket yang sudah terjual pula untuk trip dari Langkawi ke Kuala Kedah dan Kuala Perlis. Kita jangka trend pembelian akan meningkat dalam beberapa hari lagi kerana ketika ini secara purata 6,000 tiket ditempah setiap hari untuk tempoh itu.
“Ada kebarangkalian peningkatan pembelian tiket ke Langkawi dan sebaliknya melalui Kuala Kedah dan Kuala Perlis disumbang oleh faktor keadaan di Hatyai yang terjejas banjir, selain ia juga kerana musim cuti sekolah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Norhafiz, penjualan tiket yang paling laris setakat ini adalah sempena cuti Hari Krismas yang jatuh dalam tempoh cuti persekolahan itu.
Katanya, kesemua 17 buah feri akan beroperasi bagi menawarkan kira-kira 480 trip sepanjang tempoh itu merangkumi laluan Kuala Kedah-Langkawi-Kuala Kedah dan Kuala Perlis-Langkawi-Kuala Perlis.
“Sebanyak 100 trip tambahan yang disediakan setakat ini berdasarkan trend pembelian tiket yang kita pantau dan akan menambah trip lain sekiranya diperlukan.
“Buat masa ini tiada perjalanan waktu malam ditawarkan kerana faktor cuaca dan jadual air pasang surut terutama di Kuala Perlis dan Kuala Kedah,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE
The post 74,000 tiket feri Langkawi terjual menjelang cuti sekolah appeared first on Kosmo Digital.
