
![]()
KUALA LUMPUR: Satu tabung khas perlu diwujudkan untuk membiayai pembinaan rangkaian pengecas awam di seluruh negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan sedang meneliti cadangan untuk mengenakan caj terhadap setiap kenderaan elektrik (EV) yang dijual untuk tujuan itu.
Beliau berkata, ini kerana Malaysia berhadapan kekangan kewangan untuk membangunkan kemudahan pengecas awam secara besar-besaran seperti di China.
“Mungkin setiap kereta EV yang dijual di sini kita kenakan caj untuk dimasukkan dalam satu tabung bagi membina pengecas awam tanpa mengharapkan penjual kereta ini melakukannya kerana ia tidak berlaku,” katanya di Dewan Negara di sini, semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Leong Ngah Ngah mengenai kesiapsiagaan kerajaan menghadapi peningkatan penggunaan EV.
Johari berkata, sebelum ini kerajaan memperkenalkan pengecualian duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi EV import sepenuhnya (CBU) selama empat tahun sebagai usaha merangsang pertumbuhan pasaran dan menarik pelaburan ke negara ini.
Katanya, langkah itu menyebabkan negara kehilangan hasil cukai berjumlah RM3.3 bilion sedangkan pelaburan dalam pembangunan rangkaian pengecas awam masih tidak mencapai sasaran.
“Selepas empat tahun, kita hendak mencari pengecas awam, tiada pelaburan yang dibuat oleh pemain (EV) ini,” katanya.
Beliau berkata, insentif berkenaan tidak diteruskan dan kerajaan hanya mengekalkan pengecualian cukai bagi EV pemasangan tempatan (CKD) sehingga 31 Disember 2027 bagi menyokong perkembangan industri tempatan.
Johari berkata, kerajaan akan memberikan insentif kepada syarikat yang menyumbang kepada pembangunan ekosistem automotif negara.
Katanya, syarikat yang memohon insentif perlu melibatkan rantaian bekalan tempatan, selain membantu pembangunan vendor dan industri komponen dalam negara.
“Kalau mereka datang hanya membawa semua komponen dari luar negara, memasang dan menjual kenderaan di sini tetapi mengharapkan insentif, kita tidak boleh buat begitu kerana akan menjejaskan ekosistem automotif yang telah kita bina selama 30 hingga 40 tahun,” katanya.
Ketika ditanya berkaitan perkembangan terkini loji pemasangan BYD di Malaysia, beliau berkata, kerajaan belum menerima maklumat rasmi sama ada syarikat pengeluar EV dari China akan meneruskan pelaburan di Tanjung Malim, Perak ataupun sebaliknya.
Johari berkata, sebarang keputusan pelan pelaburan bergantung kepada BYD, namun perlu mengambil kira syarat yang telah ditetapkan kerajaan.
Katanya, kelayakan menikmati insentif CKD EV tertakluk kepada pematuhan terhadap peruntukan di bawah Peraturan Kastam 1988 serta syarat lain yang ditetapkan kerajaan.
Beliau berkata, beberapa pengeluar automotif telah melaksanakan pelaburan fizikal di Malaysia melalui pembinaan dan pengoperasian kilang pemasangan tempatan.
Katanya, selain Proton dan Perodua, pengeluar peralatan asal (OEM) yang mempunyai kilang pemasangan sendiri di Malaysia adalah Honda Malaysia Sdn. Bhd. di Pagoh, Johor; Assembly Services Sdn. Bhd. bagi jenama Toyota di Bukit Raja, Selangor dan Volvo Car Manufacturing Malaysia Sdn. Bhd. di Shah Alam, Selangor.
Selain itu, turut terlibat adalah Tan Chong Motor Assemblies Sdn. Bhd. di Segambut, Kuala Lumpur dan Serendah, Selangor; Chery Corporate Malaysia Sdn. Bhd. di Shah Alam, Selangor serta Stellantis Malaysia Sdn. Bhd. di Gurun, Kedah. – UTUSAN
The post Kerajaan cadangan tabung khas bina infrastruktur pengecas EV appeared first on Utusan Malaysia.




